Pastor jadi jutawan segera, menang RM1 juta

Photo of author

By Joe

Pastor jadi jutawan segera, menang RM1 juta. “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Peribahasa ini cukup tepat menggambarkan tuah dua pemegang akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di Sarawak yang memenangi Cabutan Bonanza Sijil Simpanan Premium (SSP) bagi Jun lalu.

Pemenang Jutawan BSN SSP Ke-101, Jonatan Labo, 62, yang menerima hadiah daripada Naib Presiden Kanan BSN Aizurra Melissa Muzammil pada majlis di sini, hari ini berkata, dia hanya membeli SSP pada April lalu walaupun membuka akaun BSN sejak 2019.

Menurutnya, pada mulanya dia mahu menambah pelaburan Amanah Saham Bumiputera (ASB), namun kerani di gereja tempat beliau bertugas menyarankan supaya membeli SSP.

Pastor jadi jutawan segera, menang RM1 juta

“Kerani itu kata, mungkin saya antara rakyat Malaysia bertuah jika saya membeli SSP dan saya pun membeli SSP dengan nilai RM10,000.”
“Terbukti apa yang saya katakan itu benar dan menjadi kenyataan apabila saya memenangi cabutan Jutawan BSN kali ini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan hadiah kemenangan oleh BSN di sini, hari ini.

Jonatan yang bertugas sebagai Pengerusi Pastor Borneo Evangelical Mission (BEM) Daerah Ulu Trusan, Lawas berkata, pada mulanya dia tidak mengetahui bahawa dia memenangi cabutan tersebut kerana capaian telekomunikasi di kampungnya di Long Semadoh, pedalaman Lawas, tidak stabil.

“Saya diberitahu oleh anak saudara bahawa nama saya tersenarai sebagai pemenang utama cabutan itu, tetapi saya agak ragu dengan maklumat yang diberikan.

“Tidak lama selepas itu, pegawai BSN berjaya menghubungi saya dan meyakinkan saya bahawa apa yang diberitahu oleh anak saudara itu benar,” katanya.

Jonatan berkata, dia akan menyumbangkan RM100,000 hasil kemenangan itu kepada gereja BEM namun belum ada perancangan untuk baki RM900,000 lagi.

“Mungkin akan terus membeli SSP atau menambah pelaburan ASB,” katanya yang ditemani isterinya, Sinang Kuyad, 65, ke majlis tersebut.

Sementara itu, pemenang cabutan wilayah bagi bulan Jun 2024 yang menawarkan hadiah kereta Perodua MyVi, Peter Ngumbang Guyu, 60, pula berkata, dua hari sebelum cabutan SSP itu, dia bermimpi makan buah anggur bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg.

“Saya memberitahu isteri tentang mimpi itu, tetapi dia kata itu biasa sahaja kerana mimpi adalah mainan tidur.

“Tidak lama selepas itu, saya menerima tiga panggilan daripada nombor yang tidak dikenali tetapi saya tidak menjawabnya kerana risau panggilan tersebut adalah ‘scammer’.

“Selepas saya tidak menjawab panggilan tersebut, saya menerima juga mesej WhatsApp yang disertai dengan gambar kad perniagaan seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai BSN dan meminta empat digit terakhir Mykad saya,” katanya.

Menurut Peter, walaupun wanita tersebut mengucapkan tahniah dan memastikan bahawa beliau adalah pemenang, dia masih ragu.

“Wanita itu kemudian meminta saya untuk menyemak laman web BSN dan saya meminta anak saya untuk melakukan semakan tersebut.

“Anak saya mengesahkan bahawa memang terdapat nama saya dalam senarai pemenang, namun saya masih tidak yakin dan isteri saya menasihati saya untuk pergi ke BSN di Satok untuk mendapatkan pengesahan yang lebih tepat,” katanya.

Menurut pesara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berasal dari Betong itu lagi, selepas pengesahan oleh pegawai BSN di Satok, akhirnya dia percaya dan sedar bahawa itu adalah tafsiran mimpi beliau sebelum ini.

Peter berkata, dia membeli SSP dengan nilai RM20,000 sebulan selepas bersara pada September 2022.

“Ternyata tidak sia-sia saya menyimpan di BSN dan membeli SSP,” katanya.

Baca Lagi:
‘Penyondol’ boleh didenda RM5,000 atau 3 tahun penjara
Ustaz dedah ciri-ciri ada hantu raya dalam rumah, no.8 buat buat ramai meremang
“Perangai mak berubah lepas jumpa kawan lama masa reunion, satu hari mak kantoi curang sampai atas katil ketika aku ada dalam rumah”