Pasangan yang selalu kongsi gambar selfie bersama di media sosial adalah pasangan yang tidak bahagia. Pasangan yang kerap berkongsi gambar selfie di media sosial sebenarnya tidak bahagia seperti mana yang mereka mahu orang mempercayai mereka bahagia.
Penemuan ini berdasarkan keputusan kajian yang dijalankan oleh Shotkit melibatkan 2,000 pasangan berusia antara 18 hingga 50 tahun yang mengkaji tahap kebahagiaan, serta tabiat penggunaan media sosial.
Hasil kajian menunjukkan, pasangan yang berkongsi tiga atau lebih gambar selfie berdua setiap minggu dikatakan 128 peratus lebih tidak bahagia berbanding pasangan yang jarang berkongsi gambar selfie di media sosial.
Malah, hanya 10 peratus daripada pasangan yang kerap berkongsi gambar selfie menganggap diri mereka ‘sangat bahagia’. Sebaliknya, 46 peratus pasangan yang lebih berhemah dalam penggunaan media sosial menyatakan mereka lebih bahagia.
Kajian ini juga menunjukkan, masalah kepercayaan mungkin menjadi punca pasangan yang tidak bahagia kerap berkongsi di media sosial. Faktor utama bagi pasangan yang berkongsi hubungan mereka secara terbuka adalah untuk menunjukkan mereka atau pasangan mereka sudah menjadi milik ‘orang’.
Selain itu, kecenderungan berkongsi di media sosial lebih ketara dalam kalangan generasi yang lebih tua. Secara purata, golongan milenium yang lebih dewasa lebih kerap berkongsi gambar selfie berbanding dengan generasi Z.
Martin Stevens dari Shotkit berkata, “Pendapat tentang kesan positif berkongsi di media sosial sering kali berbeza antara satu sama lain. Kami memang menjangkakan perbezaan dalam kajian ini, tetapi kami tidak tahu betapa besar perbezaannya, iaitu 128% lebih bahagia.”
Namun, ini bukan bermakna semua perkongsian di media sosial adalah buruk. Mungkin pepatah “terlalu banyak baik, juga adalah tidak baik” adalah relevan dalam kes ini.