Pasang ‘timer’ dalam tandas agar pengguna tak perlu tunggu lama beratur. Sebuah tandas di sebuah pusat pelancongan terkenal di China baru-baru ini menarik perhatian warganet tempatan apabila pengurusan memasang pemasa atau timer di dalam tandas wanita.
Tujuan pemasangan pemasa tersebut adalah untuk mengurangkan masa tunggu pengunjung wanita sebelum dapat menggunakan tandas. Ini mungkin disebabkan oleh kecenderungan wanita untuk menghabiskan masa yang lebih lama di dalam tandas…
Menurut laporan South China Morning Post, pusat pelancongan ini sangat popular dan menerima jumlah pelancong yang besar setiap hari, yang datang untuk melihat pelbagai arca batu dalam gaya Barat, Eropah, dan Asia Tengah.
Dengan peningkatan jumlah pengunjung di pusat pelancongan ini, ramai pengunjung terpaksa menunggu lama sebelum dapat menggunakan tandas.
Pemasa tersebut dipasang pada setiap pintu tandas untuk menangani masalah ini.
Lampu pada pemasa itu akan bertukar merah apabila ada individu yang masuk dan akan mula mengira detik masa seseorang itu berada di dalam tandas berkenaan.
Apabila tandas itu kosong, pemasa tersebut akan bertukar kepada warna hijau.
Beberapa pengunjung merasakan seperti mereka sedang diawasi setelah pemasangan pemasa itu di tandas tersebut.
Namun, pada masa yang sama, ada yang bersetuju dengan langkah itu kerana ia dapat mengelakkan kejadian bahaya seperti warga emas jatuh di dalam tandas tanpa dapat meminta bantuan.
Walau bagaimanapun, difahamkan bahawa pemasa tersebut tidak menetapkan had masa untuk penggunaan tandas tetapi hanya menjadi penanda sama ada tandas itu sedang digunakan oleh seseorang atau tidak.
Terdapat juga netizen yang berpendapat bahawa seharusnya lebih banyak tandas dibina untuk menangani masalah beratur panjang ini.