Pakar objek terbang dari Amerika kumpul bangkai makhluk asing lebih 50 tahun. Seorang pakar objek terbang tidak dikenali (UFO) dari Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa beberapa ‘kumpulan rahsia’ telah mengumpul bangkai makhluk asing selama lebih daripada lima dekad, lapor akhbar Metro UK semalam.
Bekas pengurus Program Pengenalpastian Ancaman Aeroangkasa Lanjutan (AATIP), Luis Elizondo, berkongsi pelbagai butiran menakutkan dalam bukunya yang baru diterbitkan bertajuk ‘Imminent: Inside the Pentagon’s Hunt for UFOs’.
Elizondo, 52, meletak jawatan daripada AATIP pada tahun 2017 dan sejak itu, beliau sering bercakap mengenai ‘isu keselamatan negara yang serius’ yang timbul akibat fenomena udara tidak dikenali (UAP).
Dalam bukunya, beliau mendedahkan mengenai kumpulan super rahsia, termasuk dakwaan bahawa pegawai kerajaan dan kontraktor pertahanan telah mengumpul bangkai makhluk dan teknologi asing selama 50 tahun.
“Kita bercakap tentang ‘nova ungu’, iaitu projek dan program yang sangat rahsia sehinggakan setiausaha pertahanan atau presiden pun tidak mengetahuinya,” ujarnya.
Elizondo juga menyebut bahawa perisikan kerajaan AS menunjukkan bahawa insiden Roswell, New Mexico pada tahun 1947 melibatkan dua piring terbang yang ‘berlanggar’.
“Empat bangkai bukan manusia ditemui daripada nahas Roswell 1947,” katanya, merujuk kepada insiden di mana belon tentera udara AS terhempas dekat Roswell, negeri New Mexico.
Buku baharu Elizondo diterbitkan ketika Washington semakin berminat dengan aktiviti luar angkasa, berikutan perbicaraan kongres tahun lepas mengenai UFO.