Pakar biologi pijak ular paling berbisa sebanyak 40,480 kali. Seorang ahli biologi dari Brazil, Joao Miguel Alves-Nunes dari Pusat Penyelidikan Butantan di Sao Paulo, telah menggunakan kaedah yang luar biasa untuk mengkaji patukan ular berbisa.
Dalam eksperimen tersebut, Alves-Nunes memijak ular Bothrops jararaca, sebuah spesies ular berbisa yang memiliki bisa yang cepat merebak dan sangat berbisa di Tenggara Brazil.
Kajian ini melibatkan lebih daripada 40,000 kali tindakan memijak reptilia tersebut dengan menggunakan but pelindung yang dibuat khas.
Penemuan yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports memberikan pandangan penting mengenai insiden patukan ular di Brazil, yang menyumbang kepada sebahagian besar daripada 20,000 kes yang dilaporkan setiap tahun di negara tersebut.
Sepanjang eksperimen dijalankan, ular-ular tersebut tidak dicederakan.
Alves-Nunes dan pasukannya memantau ular-ular tersebut dalam kawasan seluas 2 meter persegi ketika ular-ular itu menjalani tempoh penyesuaian selama 15 minit sebelum Alves-Nunes mula menendang ular-ular itu.
“Saya menguji sebanyak 116 haiwan dan memijak setiap seekor sebanyak 30 kali,” kata Alves-Nunes.
Semasa melaksanakan eksperimen yang berlangsung selama beberapa hari, dia memijak ular-ular itu secara berhati-hati sebanyak 40,480 kali.
Dia memaklumkan bahawa tiada patukan yang menembusi but pelindung yang digunakan.
Alves-Nunes sebelum ini pernah dipatuk oleh ular rattlesnake dan mengalami alahan terhadap antivenom dan toksin ular, yang menyebabkan dia dimasukkan ke hospital dalam tempoh yang lama.
Kajian tersebut mendapati bahawa ular berbisa Bothrops jararaca yang lebih kecil saiznya lebih cenderung untuk mematuk.
Selain itu, ular betina dari spesies yang sama secara amnya lebih agresif dan lebih cenderung untuk mematuk, terutama pada waktu siang.
Penyelidikan juga menunjukkan bahawa ular lebih cenderung untuk mematuk pada suhu yang lebih tinggi, manakala ular jantan lebih suka melarikan diri dan kurang mematuk pada waktu malam.
Penemuan ini mempunyai implikasi penting untuk pengedaran antivenom.
Para penyelidik berharap data ini akan membantu meningkatkan pengedaran antivenom, yang sering diperuntukkan kepada hospital yang lebih besar, sehingga pesakit yang dipatuk perlu melakukan perjalanan jauh untuk mendapatkan rawatan.
Dengan menggabungkan data ini dengan kajian lain mengenai ular berbisa, mereka berharap dapat mengenal pasti kawasan di mana ular lebih cenderung menjadi agresif dan memastikan antivenom tersedia di lokasi yang paling memerlukan.
Tujuannya adalah untuk meningkatkan tindak balas kesihatan awam, menyelamatkan nyawa, dan mengurangkan beban pada sistem penjagaan kesihatan.
“Sebagai contoh, lokasi yang lebih panas dengan pembiakan ular betina yang lebih tinggi harus diutamakan untuk pengedaran antivenom,” kata Alves-Nunes.