Padah kata-kata kesat terhadap orang awam, pegawai imigresen ditukar serta-merta

Padah kata-kata kesat terhadap orang awam, pegawai imigresen ditukar serta-merta

Padah kata-kata kesat terhadap orang awam, pegawai imigresen ditukar serta-merta.

Pegawai Jabatan Imigresen (JIM) yang mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam dalam video tular baru-baru ini, sudah ditukarkan ke bahagian lain.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata selain itu, kertas siasatan mengikut peraturan dan prosedur tatatertib penjawat awam juga akan dibuka segera oleh Bahagian Integriti JIM.

“Jabatan ini memandang serius kejadian berkenaan, walaupun daripada siasatan awal mendapati terdapat unsur provokasi orang awam berkenaan, namun tindakan yang diambil pegawai JIM yang terbabit dalam insiden berkenaan adalah bertentangan dengan slogan jabatan iaitu “Integriti, Professional, Mesra.”

“Selain itu, adalah diakui bahawa menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap orang awam adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seseorang pegawai imigresen yang juga penjawat awam.

“Pegawai imigresen seharusnya bijak mengawal diri dan mengambil sikap profesional apabila berdepan dengan provokasi lisan oleh orang awam kerana mereka diberi latihan dan tunjuk ajar yang mencukupi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial, video berdurasi 26 saat apabila seorang lelaki berusia 50an berang kerana tidak mendapat layanan sewajarnya ketika membuat pasport di kaunter Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) , Seksyen 14, Shah Alam.

Berikutan itu berlakunya pertengkaran di antara lelaki berkenaan dengan pegawai imigresen di kaunter terbabit sehingga mengeluarkan kata-kata kesat.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh lelaki berkenaan, beliau yang bekerja sendiri itu hadir ke kaunter Imigresen di Kuala Selangor kira-kira jam 3 petang bersama anaknya, namun dimaklumkan sistem tidak berfungsi sebelum ke kaunter Imigresen di UTC, Seksyen 14 kira-kira jam 4.30 petang hari sama.

Bagaimanapun, lelaki itu sekali lagi dimaklumkan sistem angka giliran sudah habis dengan hanya 200 nombor sahaja dikeluarkan sehari di kaunter Imigresen UTC berkenaan dan beliau meminta anggota bertugas supaya meletakkan Notis Pemberitahuan secara rasmi tetapi tiada sebarang tindakan.

Berikutan itu, pegawai yang bertugas memberikan nombor giliran iaitu 1201 dan 1202 kepada anak-anak lelaki itu sekitar jam 6.30 petang dan apabila nombor giliran salah seorang anaknya sudah selesai dan tiba giliran satu lagi nombor dipanggil, didapati pegawai terbabit di kaunter kemudian memaklumkan sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak berfungsi dan akan dipanggil semula pada jam 8 malam.

Disebabkan itu, lelaki berkenaan ke kaunter untuk berjumpa dengan seorang penyelia lelaki di Jabatan Imigresen bagi mendapatkan penjelasan. Namun, dipertikaikan kenapa tidak pergi kaunter.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee turut meluahkan rasa kesalnya dengan tindakan provokasi yang dilakukan orang awam berkenaan.

“Pelbagai kemudahan disediakan untuk orang ramai memperbaharui pasport mereka seperti permohonan atas talian dan pemanjangan waktu operasi termasuk Sabtu dan Ahad.

“Justeru, JIM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk laman sosial jabatan ini untuk maklumat terkini. JIM ingin menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap pegawai yang bersikap tidak profesional dan dalam masa yang sama jabatan ini juga akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang cuba memburukkan imej dan kredibiliti jabatan ini,” katanya.

Baca Lagi:

7 ciri-ciri wanita akhir zaman yang terkena fitnah Dajjal

RM13,000 lesap dalam akaun, pakar perubatan pertimbang ambil tindakan terhadap CIMB

[VIDEO] Bayi baru lahir ditemui di atas sofa diselamatkan orang ramai

Leave a Reply

Your email address will not be published.