PAC dedah seramai 300 pesawah yang sudah meninggal dunia tapi masih terima subsidi padi. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan seramai 300 pesawah yang sudah meninggal dunia masih menerima pembayaran sebanyak RM0.73 juta menerusi Skim Subsidi Harga Padi (SSHP).
Dalam rumusan Laporan Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi Pengurusan Industri Padi dan Beras Negara yang dibentang PAC di Dewan Rakyat hari ini, ini disebabkan pembayaran SSHP kepada pesawah tidak dipantau sepenuhnya oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Keadaan itu mengakibatkan pengurusan pembayaran SSHP oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) tidak teratur.
“Semakan audit mendapati 300 orang penerima bayaran SSHP direkodkan meninggal dunia dalam tempoh kematian sehingga 15 tahun.
“Sejumlah RM0.73 juta dibayar kepada pesawah yang meninggal dunia melibatkan 453 transaksi. Pembayaran SSHP sepatutnya dibuat kepada waris berdasarkan pendaftaran baharu bagi kes kematian.
“Punca utama adalah tiada prosedur atau mekanisme yang jelas di peringkat kementerian untuk menentukan kesahihan data penerima SSHP dan status kad daftar pesawah berdasarkan laporan bayaran SSHP yang dikemukakan oleh syarikat konsesi,” kata laporan itu.
Perkara itu antara lapan rumusan dalam laporan PAC yang dibentang di Parlimen hari ini. Laporan itu dimuat naik di laman sesawang PAC.
Sehubungan itu, PAC mengesyorkan kementerian, Bernas dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) segera mengintegrasi dan mengemas kini pangkalan data pesawah bagi memastikan pembayaran SSHP dapat dilaksana dengan lebih telus, efisien dan teratur.
“Kementerian dan Bernas perlu segera membangunkan Sistem Maklumat Padi dan Beras serta Sistem Pengurusan Profil dan Nutrisi Tanah bagi memastikan keberkesanan penggunaan Sistem Kad Pintar pesawah,” katanya.