Orang ramai serbu pejabat KWSP hingga kaunter ditutup. Orang ramai telah memenuhi pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Seksyen 15 di sini pada hari Isnin, menyebabkan kaunter ditutup pada jam 4.30 petang kerana permohonan pemindahan wang dari Akaun Sejahtera ke Akaun Fleksibel telah dilakukan.
Sinar Harian melaporkan bahawa ramai pencarum telah berpusu-pusu ke kaunter untuk mengemas kini nombor telefon bimbit bagi urusan kod pengesahan transaksi (TAC), selain daripada membuat pertanyaan lanjut mengenai prosedur akaun ketiga.
Pencarum Marina Ibrahim, berusia 40 tahun, menyatakan bahawa walaupun pendaftaran boleh dilakukan dalam talian, dia masih perlu ke kaunter KWSP untuk mengemas kini nombor telefon bimbit bagi urusan TAC.
“Saya datang untuk mengemaskini nombor telefon dalam sistem untuk membuat permohonan dalam talian.
“Selain itu, saya juga kurang memahami proses pengeluaran wang dari akaun dua ke akaun tiga, jadi sekarang saya sudah mengetahui proses yang sebenar,” katanya.
Suri rumah yang mahu dikenali Annakili, 48, berkata, walaupun sudah mendaftar secara dalam talian, dia masih mempunyai kekeliruan terhadap proses caruman wang ke akaun ketiga.
Ujarnya, selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai caruman, dia juga mengambil peluang untuk memeriksa baki simpanan.
“Sebenarnya, saya tidak memahami dengan jelas bagaimana proses pengeluaran wang dari akaun dua ke akaun tiga, itulah sebabnya saya datang untuk bertanya tentang proses yang sebenar,” katanya.
Pekerja swasta, Sharifah Mimpa Manap, berusia 40 tahun, pula berkata, dia pergi ke pejabat KWSP untuk mengemas kini kata laluan TAC agar boleh membuat permohonan pengeluaran.
Menurutnya, pembukaan akaun ketiga ini dapat membantu dirinya merancang kewangan dengan lebih baik untuk kegunaan kecemasan.
Sementara itu, berbeza dengan pemuda yang bekerja sendiri, Ahmed Zareef Nur Abdul Malek, berumur 33 tahun, berkata, dia datang ke pejabat tersebut bukan untuk memohon pengeluaran wang dari akaun dua ke akaun tiga.
Ujarnya, dia mengambil langkah untuk mengemas kini nombor telefon bagi memudahkan membuat pelbagai urusan selepas ini.
“Saya datang hari ini bukan niat untuk membuat permohonan akaun ketiga yang berbentuk fleksibel, tapi untuk mengemas kini nombor telefon.
“Tempoh permohonan masih berlangsung, jika saya berubah fikiran, senang untuk berbuat demikian nanti,” katanya.
KWSP memperkenalkan akaun Fleksibel bagi membolehkan ahli mereka mengeluarkan simpanan pada bila-bila masa untuk sebarang tujuan, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50.
Menurut kenyataan KWSP, permohonan pengeluaran daripada Akaun Fleksibel boleh dibuat melalui KWSP i-Akaun atau di mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.
Tujuan pemberian pilihan pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel adalah untuk membolehkan ahli membuat pengeluaran daripada akaun itu tanpa perlu menunggu caruman baharu.
Amaun yang akan dipindahkan adalah berdasarkan baki Akaun Sejahtera ahli semasa pilihan ini dibuat.
Kaedah pindahan dilakukan mengikut dua pecahan iaitu pertama, baki ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM3,000 dan ke atas dalam Akaun Sejahtera, manakala yang kedua, baki dalam akaun sama adalah kurang dari RM3,000.
Ahli boleh membuat pilihan pindahan amaun permulaan bermula 12 Mei sehingga 31 Ogos 2024 dan ia hanya boleh dibuat sekali sahaja pada bila-bila masa sepanjang tempoh tersebut serta tidak boleh dibatalkan.