Orang lain sibuk nak keluarkan KWSP, lelaki ini hanya dengan jual belut raih RM150,000 sebulan. Bermula dengan menjual belut liar secara kecil-kecilan, seorang lelaki dari Masjid Tanah, Melaka kini berjaya meluaskan pasaran ke seluruh negara, malah meraih pendapatan sehingga RM15,000 sebulan.
Rozlan Zainal, 45, berkata, berkat kegigihannya memajukan perniagaan itu sejak tahun 2015, dia sekarang mampu menjual belut seberat 6 tan sebulan.
Menurutnya, dia telah berjaya memasarkan belut liar ke Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
“Dalam seminggu, saya kena bekalkan antara 1.2 hingga 1.5 tan belut kepada kedai-kedai makan dan pemborong.
“Belut ini dipanggil ‘belut pisang’ yang bersaiz besar serta ditangkap liar di sekitar Pahang, sebab itu ia lebih berkualiti dan rasanya lebih sedap,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menggunakan jerat tukir dan berumpankan ikan sepat sebagai kaedah tangkapan, belut liar jualan Roslan turut mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pemilik restoran Thailand.
Katanya, hampir 70 peratus kedai makanan Thailand di Melaka mengambil bekalan belut daripadanya setakat ini.
“Saya juga hantar (belut liar) kepada lebih 60 pembekal di seluruh negara. Belut yang saya jual bukan sahaja mempunyai rasa yang enak, malah berkhasiat dan ia sedap dimasak sup, goreng berlada dan paprik.
“Penghantaran kebiasaannya saya buat sendiri menggunakan lori dengan dibantu anak-anak. Tugasan ni biasanya bermula dari petang hingga malam bergantung kepada lokasi,” ujarnya.
Roslan berkata, belut liar mudah diuruskan kerana tahan lasak dan risiko mati rendah.
“Semuanya belut liar yang dtangkap akan dimasukkan ke dalam kolam transit.
“Waktu kutip hasil dari pagi hingga petang termasuk kerja-kerja pengasingan belut mengikut saiz dan timbang berat dengan kekuatan 40 pekerja.
“Belut liar sangat senang dijaga, makanannya pun saya cuma beri makan anak-anak ikan dan kangkung sahaja,” katanya.