Orang hilang: Keluarga tawar ganjaran RM1000 jika dapat jumpa Azman Sulaiman

Photo of author

By Joe

Orang hilang: Keluarga tawar ganjaran RM1000 jika dapat jumpa Azman Sulaiman. Keluarga seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental menawarkan ganjaran RM1,000 kepada orang ramai yang dapat memberikan maklumat sehingga lelaki itu dijumpai semula selepas dilaporkan hilang sejak hujung bulan lalu.

Lelaki tersebut, yang dikenali sebagai Azman Sulaiman, 48, dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas kali terakhir dilihat pada 22 Ogos lalu.

Adiknya, Mohd Azlan, 38, berkata walaupun Azman adalah OKU mental, beliau sebelum ini masih mampu pulang sendiri ke rumah jika keluar seorang diri, terutama semasa menetap di Kampung Melayu Majidee.

Orang hilang: Keluarga tawar ganjaran RM1000 jika dapat jumpa Azman Sulaiman

“Sebelum ini, abang (Azman) tinggal bersama mak di Kampung Melayu Majidee. Namun, sejak dua tahun lalu, selepas abang menghidap diabetes, dia dijaga oleh abang sulung, Azlee, di Pangsapuri Desa Melayu di sini,” katanya.

“Kalau di rumah mak, dia sudah biasa dengan kawasan sekitar. Jadi, apabila dia keluar, dia tidak pergi jauh dan memang akan pulang sendiri.

“Kami risau dia mungkin belum biasa dengan kawasan tempat tinggal Azlee, menyebabkan dia terlupa jalan pulang ke rumah. Lebih membimbangkan, keadaannya tidak begitu baik,” kata Mohd Azlan ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan lagi bahawa kali terakhir Azlee melihat Azman adalah sekitar jam 8.30 malam pada 22 Ogos lalu sebelum beliau tertidur.

“Namun, Azlee beritahu bahawa apabila dia terjaga kira-kira jam 10 malam, Azman sudah tiada di rumah. Dia menunggu tetapi Azman tidak juga pulang.

“Kami kemudian berusaha mencari Azman di setiap lokasi yang dia biasa pergi, tetapi tidak berjaya hingga kini,” katanya sambil memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat pada 23 Ogos lalu berikutan kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Azman boleh menghubungi Mohd Azlan melalui talian 012-7924651 atau Azlee di 017-7329724.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan yang dibuat oleh keluarga Azman dan siasatan masih dijalankan sebagai kes orang hilang (OH).

Baca Lagi:
‘Dah makan sampai habis, lepas tu letak lipas sebab nak makan free’
Pemandu beca terkejut buaya gergasi berkeliaran atas jalan raya
Lelaki kena sengat 240 ekor tebuan tapi masih hidup