Netizen bimbang lihat reaksi lelaki tidak tidur selama 12 hari untuk pecah rekod dunia. Seorang pesohor laman perkongsian video YouTube dari Australia cuba mencipta nama dalam Guinness World Records dengan berjaga selama 12 hari berturut-turut, lapor akhbar Daily Mirror kelmarin.
Norme, 19, bercita-cita untuk memecahkan rekod masa paling lama tanpa tidur yang dicatatkan pada tahun 1986 oleh Robert McDonald, yang berjaga selama 18 hari, 21 jam, dan 40 minit.
Walau bagaimanapun, Guinness World Records telah menghentikan pemantauan rekod kategori tersebut pada tahun 1997 disebabkan bahaya yang berkaitan dengan kekurangan tidur, lapor laman berita Delaware Online.
Norme tetap meneruskan hasratnya dengan menyiarkan aksinya secara penstriman langsung, menyebabkan beberapa penonton yang bimbang dengan keadaan kesihatannya menghubungi perkhidmatan kecemasan.
Remaja itu berjaya mencapai tempoh berjaga selama 264 jam dan 24 minit ketika anggota-anggota kecemasan seperti ambulans dan polis bersiap sedia di rumahnya.
Norme, yang mempunyai sekitar 1.21 juta pengikut di YouTube, melawan perasaan mengantuk dengan menonton video, keluar bersama rakan-rakan, makan, bersembang dengan pengikutnya secara dalam talian, dan bermain alat permainan.
Rakan-rakannya juga mengambil giliran untuk memantaunya selama 12 jam bagi memastikan Norme tidak tertidur.