“Nasib aku kahwin dengan suami orang, setiap bulan aku kena sediakan nafkah duit untuk isteri pertama”. Saya Suri, berusia lewat 50-an, seorang usahawan yang boleh dikira berjaya. Saya berkahwin diusia yang lewat, ketika umur 45 tahun. Jodoh saya dengan suami orang. Isterinya tidak bekerja, mereka mempunyai empat orang anak yang sudah remaja.
Saya kahwin lewat kerana memberi tumpuan kepada perniagaan yang saya usahakan sejak berusia 25 tahun. Alhamdulillah saya berjaya, nak katakan jutawan itu tidaklah, tetapi memang saya hidup mewah. Impian saya Allah makbulkan.
Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada keluarga yang sangat menyokong dan membantu ketika saya hendak memulakan bisnes dahulu. Seperti yang dikatakan, soal jodoh, maut dan pertemuan ini adalah kerja Allah, bukan kita sebagai manusia. Ditakdirkan jodoh saya dengan suami orang, saya tidak dapat menolak.
Suami saya seorang pegawai di sebuah syarikat swasta, berusia awal 60-an sekarang. Masa bernikah dia berumur 55 tahun. Tapi saya terima dengan lapang dada walaupun saya tahu saya kena berkongsi dengan suami orang.
Ketika ini, bisnes yang saya buat sedang maju dan suami turut membantu mana yang perlu untuk sama – sama melebarkan perniagaan saya. Kami berjumpa di satu majlis yang diadakan oleh klien bisnes saya. Bermula dengan pertemuan itu, kami mula keluar bersama sehingga timbul bibit – bibit cinta.
Dia melamar dan saya terima dengan lapang dada. Keluarga mulanya membantah tetapi saya yakinkan mereka yang saya akan bahagia. Biasalah hidup bermadu, masalah akan timbul kemudian walau macam mana baik sekalipun kita dengan madu kita, itulah yang saya alami sekarang.
Tiga tahun setelah berkongsi kasih, isteri pertama suami dapat menghidu yang dia telah ada madu. Apa lagi dia mula buat hal, kongkong suami. Pergerakan suami dipantau hingga sukar bagi saya untuk berjumpa suami.
Rumahtangga kami mula goyah. Saya menuntut hak saya dan meminta suami berlaku adil. Madu saya kenakan syarat. Dia hendak belanja bulanan yang lebih untuk dirinya. Kerana sayangkan suami, saya ikut. Lama kelamaan sudah menjadi tanggungjawab saya pula memberi mereka wang tambahan setiap bulanan. Jika tidak, suami tidak akan balik kepada saya.
Saya sudah bosan dengan kerenah isteri pertamanya. Selain duit bulanan, saya juga menanggung perbelanjaan mereka bercuti sama ada di dalam negara atau di luar negara. Saya mula makan hati. Inikah caranya saya membayar kasih sayang saya untuk suami.
Saya ajak suami bincang. Saya tidak sanggup lagi untuk menanggung mereka anak beranak. Penat saya cari duit, dia orang senang sahaja nak habiskan. Orang nampak keluarga suami hidup mewah, tapi orang tak tahu itu semua saya yang keluarkan duit.
Sebab ada yang tidak tahu suami berpoligami, mereka ingat duit dia sendiri. Kalau nak dikira dengan gaji suami saya, tak mampu dia nak bawa keluarga ke luar negara bercuti. Saya bukan ungkit tetapi saya nak luahkan apa yang saya rasa dan alami.
Setelah lima tahun, saya mula berfikir yang saya ini seperti digunakan oleh suami dan isteri pertamanya untuk kepentingan mereka. Masa banyak dihabiskan di rumah isteri pertama, jika nak jumpa saya hujung minggu pun susah, berbanding masa kami mula kahwin dahulu ketika isteri pertamanya tidak tahu yang dia telah dimadukan.
Setelah dia tahu, keadaan menjadi sebaliknya. Suami juga berubah. Dia tidak seperti kami ketika mula – mula kahwin dahulu, baik, dan ambil berat tentang saya. Saya tahu dia berubah kerana desakan isteri pertamanya. Saya tidak bertanya dan marahkan dia seperti isteri kedua lain.
Saya telah bersedia untuk menghadapi keadaan ini. Dan saya juga tidak akan menyusahkan keluarga saya sebab dahulu mereka sudah bagi amaran kepada saya. Saya juga ada hak untuk membetulkan kehidupan saya. Jika jalan terbaik adalah berpisah, saya redha, asalkan saya tidak selamanya terumbang – ambing, ada suami macam tidak ada.
Tapi suami akan cari saya bila dia hendak duit. Nak jalan ke mana – mana dengan keluarga pertamanya, dia akan minta duit saya. Kalau anda di tempat saya macam mana? Kalau dahulu, saya percaya suami terima saya kerana cinta dan sayangkan saya tetapi sekarang, sebaliknya.
Dia terima saya kerana dia tahu saya boleh menyelesaikan masalahnya terutama bab duit. Ternyata perkara itu benar dan terbukti sekarang. Saya sudah mula kurang memberi wang kepada suami menyebabkan isteri pertamanya sangat marah dan mula bercakap yang buruk – buruk tentang saya.
Dihamburnya cerita yang bukan – bukan tentang saya kepada keluarga sebeIah suami yang mana sebelum ini, tidak ada masalah dengan saya. Itupun saya redha dan tidak banyak cakap. Biarkanlah, Allah ada. Saya sangat berharap kemelut rumahtangga saya ini akan berakhir segera, tidak kisah apa jadi sekalipun, yang penting saya tidak lagi menghadapi masalah berat ini.
Saya sudah penat dengan kerenah mereka. Duit pun banyak habis. Sudah sampai masanya, saya fikirkan masa depan saya pula. Alhamdulillah, bisnes saya sem4kin berjaya, syukur kepada Allah. Semoga ada jalan keluar untuk saya. Doakan saya dapat menghadapinya dengan tabah.
Kepada para isteri kedua di luar sana, jangan mengalah dengan hak kita. Berjuaanglah walaupun penghujungnya nanti kita akan kecewa, sedarkan suami tentang tanggungjawabnya apabila berpoligami. Jangan buat main – main, di dunia mungkin terlepas, di akhirat baIasan menanti.