Nampak macam hobi budak-budak, rupanya boleh jana pendapatan jutaan ringgit. TCGKL telah menganjurkan satu acara pameran dan jualan yang berkaitan dengan permainan kad dagangan (TCG) yang menghimpunkan semua pedagang dalam industri tersebut dari seluruh negara dan juga dari negara jiran, Singapura.
Program sehari ini dijadikan sebagai platform pertemuan bagi semua peminat TCG, tidak hanya dari golongan dewasa dan kanak-kanak, tetapi juga memberi peluang kepada pedagang untuk mempamerkan produk, perkhidmatan, dan inovasi masing-masing kepada pelanggan sedia ada, pelanggan baharu, dan juga rakan kongsi.
Pengarah Acara TCGKL, Iman Humaira Mohd Zaid, berkata bahawa pameran ini telah menemui para peminatnya untuk mendapatkan kad permainan seperti Pokemon, DragonBall, One Piece, dan Jujutsu Kaisen.
Menurut beliau, program ini juga dapat menjadikannya sebagai pusat sehenti untuk peminat TCG mendapatkan kad yang tulen dan mengelakkan penipuan.
“Pengunjung akan diajar cara untuk membezakan antara kad yang palsu dan tulen serta mendedahkan kepada mereka cara untuk mereka melihat harga pasaran terkini kad yang mereka beli.
“Kami ingin mendedahkan secara meluas tentang TCG kepada orang ramai memandangkan masih ramai yang tidak tahu tentang industri berpotensi ini.
“Apa yang menarik, ia juga boleh didagangkan untuk membolehkan pemilik kad mengaut keuntungan pada masa depan.
“TCG boleh dijadikan sebagai memenuhi minat atau hobi individu yang boleh bertukar menjadi keuntungan kerana nilai kad yang dibeli atau diperoleh boleh mencecah ribuan dan jutaan ringgit, mengikut gred dan keunikan kad tersebut dalam pasaran terkini,” katanya.
Beliau menyuarakan pandangan tersebut ketika ditemui pada pameran tersebut di sini baru-baru ini. Sementara itu, salah seorang pengunjung yang ditemui dalam acara tersebut, yang ingin dikenali sebagai Lim, berkongsi pendapat bahawa TCG lebih menguntungkan berbanding pelaburan saham kerana risiko kerugiannya sangat rendah.
“Jika kita tidak mahu menjualnya sekarang, kita boleh simpan dulu kad ini. Apabila harga pasaran sudah naik, kita boleh menjualnya dengan harga yang lumayan bahkan boleh mencapai puluhan ribu ringgit hanya dengan menjual satu kad sahaja.
“Kad ini bernilai di peringkat global dan kita boleh menjualnya di platform online agar peminat dari seluruh dunia membelinya,” jelas beliau.