Nampak cantik dari luar Seri Perdana, rupanya di dalam ‘indah khabar dari rupa’. Keadaan Seri Perdana didapati tidak sesuai untuk didiami kerana mengalami kebocoran di beberapa bahagian bangunan sebelum diubah suai dan dibaiki oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad, berkata masalah utama Seri Perdana ialah kebocoran di beberapa bahagian bangunan yang menyebabkan bumbung, siling, dinding dan lantainya rosak.
Katanya, peralatan dapur juga tidak boleh digunakan di samping masalah pendawaian yang usang dan perlu diganti baharu.
“Saya terbabit secara langsung dalam mengurus proses pengubahsuaian dan pembaikan Seri Perdana pada ketika itu atas kapasiti sebagai Ketua Setiausaha Sulit.
“Selain itu, keadaan Seri Perdana yang pernah diubahsuai sebelum ini menyebabkan keadaannya yang asal berubah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Marzuki, berkata selain itu, terdapat kelemahan dalam sistem inventori yang menyebabkan pegawai tidak dapat memastikan sama ada perabot di Seri Perdana milik kerajaan atau milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam, iaitu Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, beliau menerima permohonan daripada Najib untuk mengeluarkan sebahagian besar daripada perabot di Seri Perdana yang dikatakan milik peribadi beliau.
“Ini termasuk lampu dan chandelier di Seri Perdana. Perkara ini menjadi pertikaian sejak sekian lama. Tetapi dapat diselesaikan oleh pihak Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada ketika itu,” katanya.
“Dengan keadaan ini, Seri Perdana yang sepatutnya menjadi kediaman rasmi Perdana Menteri, didapati tidak sesuai untuk didiami… Saya diberitahu Tun Dr Mahathir Mohamad pun tak pernah tinggal di situ. Ia seolah bangunan terbiar. Dari luar nampak cantik, tapi di dalamnya tak boleh diduduki,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, kerja-kerja pembaikan dan pengubahsuaian terpaksa dilaksanakan untuk membolehkan ia diduduki dan mengembalikan Seri Perdana kepada keadaannya yang asal.
Katanya bangunan kalau tidak dibaiki dan diduduki serta dibiarkan rosak begitu sahaja, lama kelamaan kerosakannya akan menjadi lebih teruk dan kosnya akan lebih meningkat.
“Saya ingat lagi Tan Sri Muhyiddin pernah berpesan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM mengenai dua perkara iaitu perlu ada inventori lengkap semua harta kerajaan di Seri Perdana supaya tidak ada mana-mana Perdana Menteri yang boleh mengambil perabot atau hiasan selepas bersara, kecuali barangan milik peribadi.
“Yang kedua perlu ada satu akta mengenai Seri Perdana sebagai bangunan warisan yang tidak boleh diubahsuai sesuka hati,” katanya.
Katanya, selepas dibaiki dan dikembalikan kepada keadaannya yang asal, Seri Perdana boleh didiami dan digunakan untuk pelbagai acara rasmi.
Katanya, Perdana Menteri Ke-10 juga banyak mengadakan majlis rasmi dan acara keraian di Seri Perdana.
“Saya harap dua perkara yang dinyatakan oleh Tan Sri Muhyiddin mengenai Seri Perdana dapat juga dilaksanakan oleh kerajaan.
“Proses pengubahsuaian dan pembaikan Seri Perdana belum siap ketika Tan Sri Muhyiddin meletak jawatan pada bulan Ogos 2021,” katanya.