Nak menangis rasa kena bayar air teh O ais harga RM11 secawan. Harga mi goreng jauh lebih murah daripada teh O ais, mungkin peniaga kena perah daun teh sendiri.
Itulah reaksi yang diberikan orang ramai setelah melihat resit pembayaran sebuah kedai makan yang terletak di bangunan popular sebagai lokasi acara terbesar termasuk antarabangsa di negara ini.
Gambar resit tersebut dikongsi oleh Nur Elena melalui kumpulan Facebook Penduduk Sungai Petani (PSP) hari ini.
Semakan Kosmo! pada resit tersebut, kelihatan pelanggan memesan tiga jenis menu iaitu lontong, mi goreng, dan juga teh O ais.
Kesemua pesanan tersebut dikenakan bayaran sebanyak RM29.
Bagaimanapun, menjadi persoalan ramai apabila harga sebatang teh O ais adalah RM11 yang dikatakan terlalu mahal dan tidak masuk akal.
Melihat kepada ruangan komen pula, ramai yang ‘tag’ Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memeriksa premis tersebut.
“Harga lontong pun RM12, mi goreng baru RM6, tak mungkin teh O ais seharga RM11. Mohon pihak berkuasa ambil perhatian dan buat tinjauan ke lokasi,” kata Hairul.
“Tu dia… boleh beli serbuk teh sebungkus,” seloroh Farah As Syifa.
“Silap harga ke macam mana ini? Mi goreng pula murah dari teh O ais,” kata Cik Puan FA.