Najib dikejarkan ke hospital kali kedua

Najib dikejarkan ke hospital kali kedua

Najib dikejarkan ke hospital kali kedua. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dimasukkan ke hospital sejak beberapa hari lalu kerana tidak sihat dan pemeriksaan kesihatan mendapati beliau menghidapi jangkitan paru-paru.

Sumber terdekat kepada MalaysiaGazette mendedahkan, mantan Ahli Parlimen Pekan itu pada mulanya dimasukkan ke hospital selepas mengidap influenza.

Katanya, Najib menjalani prosedur rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu sama seperti banduan lain yang tertakluk di bawah Akta Penjara 2000.

Najib dikejarkan ke hospital kali kedua

“Pemeriksaan lanjut mendapati beliau menghidapi jangkitan paru-paru dan perlu menjalani beberapa prosedur rawatan.

“Yang tahu hanya keluarga terdekat namun saya tidak pasti bagaimana media boleh tahu tentang perkara ini. Kita harap semoga semuanya dipermudahkan untuk Datuk Seri,” katanya ringkas.

Sumber juga enggan mendedahkan dengan lebih terperinci tentang perkara itu namun MalaysiaGazette difahamkan Najib kini sudah kembali ke penjara selepas menjalani rawatan susulan.

Untuk makluman, ini kali kedua beliau dimasukkan ke hospital selepas dirawat kerana mengalami ulser kronik tahun lalu.

Walaupun sakit namun Najib masih berada di bawah kawalan pihak penjara selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara yang mana Jabatan Penjara bertanggungjawab memastikan tahap kesihatan seseorang banduan sentiasa dipantau dan dijaga termasuk penyediaan kemudahan rawatan dan ubat-ubatan sebagaimana yang disyorkan oleh pegawai perubatan kerajaan.

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang dan denda RM210 juta sejak 23 Ogos lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan ke atasnya dalam kes SRC International.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap bekas Presiden UMNO itu

Dalam pada itu, pada 31 Mac ini, Mahkamah Persekutuan akan memutuskan tentang semakan hukuman dan sabitan terhadap Najib di hadapan lima panel hakim.

Baca Lagi:
Najib sindir Mahathir, diktator gelar orang lain diktator
Lelaki ini teman isteri pergi pasar beli barang dapur, sekali baru sedar apa yang berlaku sebenarnya
5 status di media sosial yang boleh buat anda masuk penjara
CATEGORIES