Mula-mula rasa seram tapi bila fikir balik, saya rasa sedih..Wanita terakam suara orang menjerit di sekitar kubur anaknya.
Demikian kata seorang wanita ketika berkongsi cerita mengenai satu video ‘aneh’ yang dirakamnya di sebuah tanah perkuburan baru-baru ini.
Menerusi video berdurasi kurang tujuh saat itu, rakaman tersebut ‘terselit’ bunyi satu suara yang sayup-sayup kedengaran seolah-olah seseorang sedang menjerit.
“Allahuakbar, dekatnya alam kubur dengan kita. Jue rakam video untuk kenangan, tak sangka Allah bagi peluang Jue rakam alam kubur,” tulisnya pada kapsyen video tersebut.
Sehingga kini, video yang dimuat naik oleh wanita berkenaan di aplikasi TikTok meraih 1.3 juta jumlah tontonan selain dibanjiri ribuan komen netizen.
View this post on Instagram
Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali dengan nama Jue Hamzi berkata, video tersebut dirakam ketika dia bersama suami dan anak sulungnya, Jazlyn Nuha Mohd Zulhamzi menziarahi pusara arwah anak keduanya, Arjuna Ali Mohd Zulhamzi, di Hulu Langat, petang Selasa lalu.
Menurutnya yang senang disapa Jue, anak keduanya meninggal dunia pada Jun lalu, selepas lima jam melihat dunia.
“Memang rutin kami ziarah setiap minggu. Setiap kali ziarah, memang rutin saya tangkap gambar dan video untuk kongsi ke keluarga saya yang jauh. Sebab PKP, tak dapat rentas jadi keluarga saya dapat update melalui gambar dan video saja.
“Selasa itu, kami ziarah kubur dan sebelum balik, saya rakam dan tangkap gambar macam biasa. Lepas dah rakam saya terus upload di status Facebook dan WhatsApp Story tapi masa tu saya tak dengar semula rakaman.
“Sampai lewat malam, saya tengok kembali status story saya siang tadi. Masa tengok semula tu baru saya perasan ada suara dalam video yang saya rakam,” cerita wanita berusia 33 tahun ini.
Bercerita lebih lanjut, Jue berkata selepas memaklumkan mengenai bunyi ‘aneh’ itu kepada ahli keluarganya, dia mengambil keputusan untuk membuat perkongsian di TikTok.
“Saya share di TikTok sebab saya sendiri tak pasti betul ke apa yang saya dengar. Tujuan saya muat naik adalah sebagai peringatan bersama dan juga untuk tahu pendapat orang lain mengenai rakaman tersebut.
“Tapi sewaktu rakam memang saya tak dengar apa-apa. Suasana memang tenang sahaja. Cuma ada suara anak tengah main, tak sangka ada ‘suara’ lain,” ceritanya yang menjalankan bisnes secara dalam talian.
Tambah wanita ini lagi, pengalaman tersebut adalah kali pertama yang dialami sejak rutinnya menziarahi pusara bayinya hampir empat bulan lalu.
Tidak menyangka videonya menjadi tular, Jue berkata dia tidak mempunyai niat lain sebaliknya hanya mahu orang ramai mengambil teladan bersama daripada perkongsian tersebut.
“Saya terkejut juga sebab ramai yang pernah alami. Yang pertikai dan ambil remeh mengenai ‘suara’ tersebut, itu pendapat masing-masing.
“Ada yang komen mereka dapat dengar sebutan perkataan yang saya sendiri tak dengar pula dalam video. Namun bagi saya sendiri, ini pengalaman yang tak dapat dilupakan.
“Apa pun sentiasalah mengingati Allah, dan jangan lupa berdoa serta sedekah al-Fatihah setiap kali melalui kubur untuk semua penghuni di sana,” ujarnya lagi.
Baca Lagi:
Ini sebab kenapa niaga tak laku, jangan salahkan netizen tak support kau!
Suara sebenar Paderi Firaun kini boleh didengari, sangat menyeramkan!