Muhyiddin dedah sesuatu buat penyokong PAS marah. BERSATU menyifatkan sokongan rakyat terhadap rakan politiknya iaitu PAS sudah ‘tepu’ sebelum parti itu menjalinkan kerjasama membentuk Perikatan Nasional (PN).
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ketika PAS bergerak solo, parti Islam itu tidak merekodkan jumlah kemenangan besar seperti dinikmati kini termasuk menang di empat negeri serta hampir menawan Selangor.
Katanya, parti itu mula melonjakkan kedudukannya pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) apabila bekerjasama dalam PN.
“PAS, Bersatu dan GERAKAN melihat ini sebagai satu kekuatan. Mereka tak boleh bersendirian… boleh (bersendirian) tetapi kesannya tak sebegini (menang besar).
“Contoh dalam PRU lepas majoriti mereka biasa 10,000 ke 15,000 undi, tetapi (Presiden PAS) Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang) contohnya sampai 40,000 undi.
“Dia (PAS) dah sampai tahap tepu, tetapi dengan gabungan PN penerimaan rakyat begitu besar sekali sehingga catat majoriti luar biasa,” katanya dalam temu bual bersama FMT.
Untuk rekod, PAS ketika di bawah PN menang 43 kerusi Parlimen pada PRU-15, sekaligus menjadi pencapaian terbaiknya sejak menyertai pilihan raya yang dilabel ramai sebagai ‘gelombang hijau’ kerana penguasaan terutama di kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam.
PAS juga mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu, selain merampas Perlis yang sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).
Muhyiddin berkata, apa yang berlaku itu bukannya rakyat mahu menyokong PAS atau BERSATU semata-mata, namun ia lebih kepada penerimaan pengundi terhadap gabungan berkenaan.
“Setahu saya (sokongan) tak berganjak, sebab PAS pun bijaksana kerana tahu tiada parti politik boleh berjuang sendirian, solo dan bentuk kerajaan.
“BERSATU (30 kerusi Parlimen pada PRU-15 kini 26) sendiri tak mampu bentuk kerajaan, PAS pun tak mampu walaupun menang besar sikit… malah mereka lebih lama daripada kita,” katanya.
Berikutan itu, Muhyiddin berkata PAS akan kekal bersama PN walaupun kini terdapat empat Ahli Parlimennya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, demi pembangunan serta kebajikan kawasan diwakili.
Sebelum ini, empat ahli Parlimen BERSATU yang menyokong Anwar adalah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
Mengulas kesediaan Anwar menerima PAS dalam Kerajaan Perpaduan pula, Muhyiddin menolak cadangan itu kerana tindakan berkenaan mungkin menjejaskan kekuatan pembangkang di Parlimen dengan hanya mengharapkan wakil rakyat BERSATU serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada MUDA.