Muat naik kandungan jelik berkait agama Islam, Harith Iskander dan Cecelia Yap dikompaun RM10,000. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengenakan tindakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang terhadap Harith Iskander dan Cecelia Yap.
MCMC berkata, tindakan kompaun itu diambil atas kesalahan memuat naik kandungan dan komen jelik yang melibatkan agama Islam di Facebook pada 18 Januari 2025.
“Ia dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
“Selepas menerima permohonan daripada MCMC, Meta telah menurunkan kandungan tersebut setelah ia didapati melanggar garis panduan komuniti Facebook,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, permohonan untuk menutup akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat.
Jelasnya, permohonan tersebut kini dalam proses penelitian dan penilaian oleh pihak Meta.