Misteri tasik penuh tengkorak manusia di pergunungan Himalaya yang masih belum terungkai. Tasik tengkorak begitulah julukan yang diberikan oleh masyarakat terhadap Tasik Roop Kund yang berada di kawasan bersalju setinggi 5.029 m di atas permukaan laut daerah terpencil pergunungan Himalaya. Berita tentang pertemuan tasik tengkorak ini telah tersebar sejak abad ke-19.
Tasik ini terletak di tebing Trisul, iaitu salah satu pergunungan tertinggi India di Uttarakhand. Tasik ini mempunyai kedalaman sedalam 2-meter dan dikelilingi oleh glasier dan banjaran ais. Kawasan tasik ini juga tidak mempunyai habitat hidup manusia.
Tasik ini akan membeku pada sebahagian tahun dan apabila aisnya mencair barulah dapat terlihat beratus-ratus rangka manusia yang keadaannya masih elok. Dijangkakan terdapat lebih daripada 800 rangka manusia telah dijumpai. Ketika ini, tasik tersebut telah menjadi destinasi pelancongan bagi aktiviti mengembara dan trekking.
Pada tahun 1942, Hari Krishnan Madwall adalah orang pertama yang telah menjumpai rangka manusia di tasik itu ketika aisnya telah mencair. Beliau pada ketika itu masih bekerja sebagai penjaga Taman Nasional Nada Devi. Sehingga kini, misteri tentang penemuan rangka manusia ini masih belum dipecahkan.
Spekulasi tentang tasik tengkorak
Terdapat pelbagai teori dan spekulasi tentang tengkorak yang dijumpai di Tasik Roop Kund. Antara teori awal yang mula tersebar ialah dikatakan tengkorak manusia yang dijumpai itu adalah korban dari pasukan penceroboh Jepun yang telah bersembunyi ditasik tersebut. Namun, didapati bahawa rangka-rangka itu terlalu lama untuk menjadi askar Jepun. Oleh itu, teori ini dilihat tidak dapat diterima.
Menurut teori lain pula, dikatakan beberapa rangka manusia itu adalah milik tentera India yang ingin menceroboh Tibet pada tahun 1841, tetapi gagal dan terpaksa pulang disebabkan keganasan askar Himalaya. Kebanyakkan askar itu tewas di lokasi tasik tersebut.
Terdapat pula cerita dongeng versi masyarakat setempat dimana rangka manusia itu ialah Raja Kanauj, Raja Jasdhaval, bersama isteri baginda yang sedang hamil, Rani Balampa, para pembantu mereka, satu kumpulan penari, dan yang lain-lain pergi berziarah ke kuil Nanda Devi. Kumpulan itu menghadapi ribut dengan hujan batu besar, di mana seluruh rombongan tersebut terkorban berhampiran Tasik Roopkund.
Pengenalpastian
Kajian dilakukan terhadap 300 rangka manusia di tasik itu dan dijumpai bahawa terdapat kecederaan di kepala. Menurut beberapa sumber, kecederaan ini disebabkan oleh objek bulat yang jatuh daripada atas, dan merupakan punca kematian yang biasa di kalangan si mati. Para penyelidik tersebut menyimpulkan bahawa mangsa-mangsa telah terperangkap dalam ribut hujan batu yang tiba-tiba muncul seperti yang diterangkan di dalam legenda. Masa kematian ditentukan sekitar tahun 850 M.
Baru-baru ini kajian menemui rangka tersebut berasal dari era yang berbeza dan tergolong dalam tiga kumpulan yang berbeza. Satu kumpulan yang terdiri daripada 23 individu (sekitar 800 M) mempunyai keturunan tipikal Asia Selatan, satu individu (sekitar 1800 M) mempunyai keturunan Asia Tenggara, dan 14 individu (sekitar 1800 M) mempunyai keturunan tipikal Mediterranean Timur, khususnya dari kawasan daratan Yunani dan Kreta. Penemuan tersebut menyangkal teori bahawa individu-individu tersebut mati dalam satu peristiwa bencana.
Kajian melalui radiokarbon pula menunjukkan bahawa sisa-sisa rangka yang lebih tua berasal daripada Asia Selatan, sementara rangka manusia yang lebih muda daripada Mediterranean Timur dan Asia Tenggara telah berada di lokasi itu pada satu masa yang sama atau dalam satu kejadian tertentu.
Para saintis pada masa ini masih belum dapat mengungkapkan misteri mengapa orang-orang dari kawasan Mediterranean datang ke tasik ini dan tujuan kedatangan mereka. Ketua Jabatan Arkeologi Universiti Pennsylvania, Kathleen Morrison, menyatakan kemungkinan orang-orang asing yang berkunjung ke tasik itu telah dikumpulkan ke sana oleh masyarakat tempatan dan sesuatu yang tidak dapat dijelaskan telah menyebabkan kematian mereka di tempat itu. Dengan kehadiran banyak rangka manusia, biasanya kita akan menganggapnya sebagai kuburan besar-besaran.