Misteri kenderaan parkir di perkuburan terungkai, rupanya curi 27 tengkorak buat tangkal sihir. Polis Thailand sedang memburu suspek yang mencuri 27 tengkorak dari dua kawasan perkuburan di wilayah Chon Buri, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Seorang anggota penyelamat tempatan, Prawate Swatsri, 39, berkata, dia mendapat tahu mengenai kegiatan itu selepas diminta menyiasat sebuah kenderaan misteri yang diparkir di tengah kawasan perkuburan di Jalan Panat Nikhom-Nong Samed.
Ketika menyiasat perkara itu kelmarin, Prawate tidak menemui sebarang kenderaan yang dilaporkan. Sebaliknya, dia melihat sebuah kubur yang kelihatan baru digali, dengan binaan batu di kubur itu turut dihancurkan.
Prawate segera memaklumkan kepada penjaga kubur, yang membawa kepada siasatan menyeluruh terhadap setiap kubur. Mereka kemudian mendapati bahawa 15 tengkorak hilang di kawasan tersebut, menimbulkan syak wasangka tentang motif di sebalik kecurian itu.
Penduduk tempatan percaya bahawa tengkorak itu dicuri untuk digunakan dalam ritual atau untuk menghasilkan tangkal sihir yang dikenali sebagai Phra Nang. Tangkal tersebut diperbuat daripada tulang dahi atau tulang tengah tengkorak manusia.
Prawate menambah, kejadian serupa berlaku di sebuah lagi tanah perkuburan berhampiran, di mana 12 tengkorak telah dicuri sebelum ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan tengkorak yang hilang sebanyak 27.
Sementara itu, pegawai di Balai Polis Panat Nikhom sedang meneliti rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) dari sekitar dua tanah perkuburan itu dalam usaha mengenal pasti suspek.