Misteri kehilangan ‘The Frog Boys’: 5 sekawan yang hilang ketika cari katak atas bukit. “The Frog Boys” adalah gelaran yang diberikan oleh media tempatan kepada sekumpulan kanak-kanak lelaki dari Korea Selatan yang dilaporkan hilang pada 26 Mac 1991. Kes ini diklasifikasikan sebagai jenayah paling rumit dan kompleks sehingga masih belum dapat diselesaikan sampai ke hari ini.
Pada tarikh tersebut, kerajaan Korea Selatan mengisytiharkan sebagai hari kelepasan. Oleh kerana cuti sekolah, seramai lima orang anak muda berumur sembilan hingga 13 tahun telah keluar meninggalkan rumah mereka di Daegu. Malangnya, kesemua mereka tidak pernah kembali lagi selepas itu.
Uchol-won, 13, Jo Ho-yeon, 12, Kim Yeong-gyu, 11, Park Chan-in, 10, dan Kim Jong-sik, 9, dilaporkan telah merancang untuk keluar bersama-sama menangkap katak di sekitar Gunung Waryong. Tempat yang hendak dituju itu tidaklah terlalu jauh dari kediaman mereka. Jaraknya cuma satu jam dengan berjalan kaki dari pusat bandar.
Lima sahabat ini bergerak secara berkumpulan. Ibu bapa masing-masing juga sudah dimaklumkan tentang rencana tersebut. Orang tua mereka tidak menghalang, sebaliknya mengizinkan anak-anak keluar beriadah tanpa menduga sesuatu yang tidak diingini bakal terjadi selepas itu.
Sangkaan awal ibu bapa bahawa anak-anak mereka akan pulang ke rumah dengan selamat ternyata salah. Kelibat kanak-kanak tersebut masih tidak kelihatan walaupun hari sudah lewat malam. Risau keadaan anak, para ibu bapa terbabit membuat laporan polis menyatakan mereka hilang.
Sejurus menerima laporan itu, polis tempatan dengan dibantu para sukarelawan segera melakukan pencarian di beberapa buah lokasi yang dikenal pasti, khususnya di Gunung Waryong.
Operasi mencari di Gunung Waryong, iaitu tempat di mana anak-anak itu hendak mencari katak telah pun dilakukan sebanyak 500 kali. Namun, pihak berkuasa masih tidak menemukan sebarang jejak mangsa di sana.
Kes kehilangan pelajar dari Sekolah Rendah Seongseo itu telah mendapat perhatian pihak media. Seluruh penduduk Korea Selatan turut merasa simpati akan kejadian yang menimpa anak-anak itu, termasuklah Presiden Roh Tae-woo. Atas keprihatinan, beliau mengarahkan 300,000 orang anggota polis untuk menyertai dalam misi pencarian kanak-kanak hilang itu.
Carian sebelumnya telah dilakukan di sekitar Gunung Waryong, takungan air dan sepanjang saluran air sebanyak beratus-ratus kali. Selain itu, lebih daripada lapan juta risalah turut diedarkan di seluruh wilayah Korea Selatan. Bukan itu sahaja, hadiah sebanyak 42 juta won (RM4.11 juta) telah dijanjikan kepada siapa sahaja yang berjaya menjumpai mangsa.
Para guru sekolah dan ibu bapa mangsa juga bersama-sama turun padang membantu mencari mangsa. Difahamkan, sebilangan ibu bapa mangsa nekad berhenti kerja untuk mencari anak lelaki mereka di seluruh wilayah Korea. Bagaimanapun, operasi itu belum menjumpai tanda-tanda keberadaan mangsa.
Sepanjang pencarian, pihak polis menerima lebih 550 laporan palsu. Seorang lelaki dikatakan berbohong kononnya telah menculik Frog Boys dan meminta wang tebusan sebagai pertukaran. Lelaki itu kemudian ditangkap kerana mengganggu tugas pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.
Usaha mencari sudah masuk berbulan-bulan dan ia semakin menemui jalan sukar. Harapan para ibu bapa untuk menjumpai anak-anak mereka dalam keadaan hidup juga semakin tipis. Di tengah-tengah kebuntuan itu, timbul bermacam-macam teori. Salah satunya, kanak-kanak malang itu dikatakan telah diculik oleh makhluk asing sehingga jasad mereka tidak pernah dijumpai.
Lebih 11 tahun kemudian, iaitu pada hari Khamis, 26 September 2002, seorang lelaki yang sedang mencari buah oak di Gunung Wayong tiba-tiba tersadung sesuatu.
Selepas diperiksa, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati ia tulang manusia berserta dengan serpihan baju dan kasut. Penemuan itu dilaporkan kepada polis dan hasil pemeriksaan mengesahkan bahawa kerangka tersebut tidak lain milik lima orang kanak-kanak yang dilaporkan hilang lebih 11 tahun yang lalu.
Kerangka kelima-lima mangsa ditemui mati berdekatan dalam sebuah lubang yang tidak begitu dalam. Pada awalnya, polis mengesyaki mangsa meninggal dunia akibat kesejukan. Namun, hasil pemeriksaan terperinci menolak teori hipotermia. Ini kerana, tiga daripada tengkorak kanak-kanak itu didapati mempunyai kesan serius seperti dipukul dengan objek tumpul sehingga mati. Dua tengkorak lagi masih dengan kesan darah. Dan paling tragis, satu daripada tengkorak mempunyai kesan lubang di kepala berkemungkinan ditembak pada jarak dekat.
Peliknya, kelima-lima kerangka itu ditemui di Gunung Waryong yang jaraknya hanya 3.5 kilometer dari rumah mereka. Mangsa difahamkan tahu selok-belok kawasan itu dengan baik sekali. Misi mencari juga telah dilakukan banyak kali di lokasi yang sama. Musykil, bagaimana mangsa tidak dijumpai?
Kes ini tiada penjelasan khusus dan masih menjadi tanda tanya. Malah, sejak autopsi dilakukan ke atas kerangka mangsa pada tahun 2002, tiada perkembangan lanjut mengenainya. Pada 25 Mac 2004, upacara penghormatan terakhir kepada si mati diadakan. Tengkorak mangsa bagaimanapun didermakan kepada pihak Universiti Gyeongbuk untuk tujuan penyelidikan perubatan.
Pada tahun 2006, segala siasatan ke atas kes ini telah dihentikan kerana had statusnya sudah berakhir. Tetapi pada tahun 2015, kerajaan Korea telah menggubal semula undang-undang berkaitan had status ini. Bermakna, sekiranya ada petunjuk baru, kes kanak-kanak ini masih boleh dibuka semula untuk mencari pembunuhnya.
Sehingga ke hari ini, kisah The Frog Boys ini masih menjadi tanda tanya. Apa sebenarnya yang berlaku sehingga kanak-kanak itu dibunuh tetap menjadi misteri yang belum berjaya dirungkaikan.
Filem Korea berjudul ‘Children’ yang diterbitkan pada tahun 2011 diadaptasi daripada kisah kehilangan lima sekawan ini.