
Minyak masak paket subsidi mungkin dijual sebagai minyak masak terpakai – Menteri
Minyak masak paket subsidi mungkin dijual sebagai minyak masak terpakai – Menteri. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti kemungkinan ada pihak tertentu yang menjual minyak masak peket bersubsidi sebagai minyak masak terpakai, sekali gus menyebabkan gangguan bekalan bahan itu di pasaran.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata ruang untuk berlakunya penyelewengan mungkin wujud berikutan minyak masak peket bersubsidi kini dijual pada harga RM2.50 sekilogram, sedangkan harga minyak masak terpakai boleh mencecah sehingga RM3.80 sekilogram.
Bagaimanapun beliau memaklumkan, tiada aduan diterima pihaknya setakat ini berkaitan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi yang dijual sebagai minyak masak terpakai.
“Kuota minyak masak kita untuk sebulan adalah 60,000 metrik tan dan jumlah ini sebenarnya mencukupi bagi golongan B40 dan sebahagian golongan M40 yang terdiri daripada 5.8 juta isi rumah yang layak dan memerlukan minyak masak bersubsidi ini.
“Keperluan di rumah lazimnya adalah sekitar 4.8 kilogram (kg) sahaja, tetapi keperluan peniaga mikro menggunakan purata 400 peket sebulan bagi perniagaan mereka yang membuka kafe dan kantin sekolah, selain penjual pisang goreng, keropok lekor mahupun penjual karipap.
“Jika dahulu, mereka ini mungkin menggunakan banyak kali minyak masak (yang sama), tetapi oleh kerana minyak masak terpakai pada hari ini harganya lebih kurang RM3 hingga RM3.80, maka ia tidak perlu dikitar pakai untuk banyak kali, tetapi ia dijual pula menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Rahmah Berganda yang merangkumi Pesta Aiskrim Rahmah dan Jualan Rahmah Pasar Raya di perkarangan sebuah pasar raya di Kangar Jaya, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fuziah mengakui pihaknya melihat mekanisme menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi sebagai salah satu langkah untuk mewujudkan ketelusan subsidi bersasar, supaya ia benar-benar dapat dinikmati golongan sasar ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, ia juga dilihat mampu mengelakkan ketirisan minyak masak jenis itu daripada dipek semula dan dijual sebagai minyak masak terpakai.
“Kita sedang menilai pelbagai aspek mengenai perkara itu sebelum sebarang langkah ke arah mekanisme itu dilaksanakan bagi memastikan subsidi itu benar dinikmati golongan yang disasarkan,” katanya.
Fuziah turut memaklumkan, pihaknya sedang melakukan audit di seluruh negara berkenaan kegunaan minyak masak peket bersubsidi ini.