Micron Technology Inc bakal tambah pelaburan AS$1 bilion di Malaysia

Micron Technology Inc bakal tambah pelaburan AS$1 bilion di Malaysia

Micron Technology Inc bakal tambah pelaburan AS$1 bilion di Malaysia. Permintaan pasaran yang kukuh akan terus menyokong operasi Micron Technology Inc di Malaysia selain pertambahan ruang kilang di Pulau Pinang seluas 1.5 juta kaki persegi.

Ketua Pegawai Eksekutif Micron, Sanjay Mehrotra, berkata pembuat memori komputer dan penstoran data komputer yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu sudah melabur AS$1 bilion dalam operasinya di negara ini sejak 2019 yang termasuk kilang seluas 600,000 kaki persegi untuk pemasangan dan pengujian.

“Kami akan melabur AS$1 bilion lagi dalam tempoh beberapa tahun akan datang memandangkan kami membina kilang kedua yang akan menjadikan ruang kilang keseluruhan seluas 1.5 juta kaki persegi dan dijangka memulakan pengeluaran tahun depan,” katanya kepada Bernama.

Micron Technology Inc bakal tambah pelaburan AS$1 bilion di Malaysia

Beliau berkata, walaupun industri memori mengalami kitaran menurun semasa, Micron bersedia untuk menjadi lebih kukuh kerana ia mempunyai gabungan berkualiti dalam pasaran semikonduktor, disokong oleh teknologi paling canggih, produk yang tepat dan pasukan yang hebat.

Teknologi telah berkembang pesat yang pada masa sama mendorong kehidupan seharian amat bergantung kepada data, kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), rumah pintar dan bandar pintar, katanya.

“Kami membuat produk yang digunakan dalam telefon pintar, kenderaan dan sebagainya. Data berfungsi dalam produk yang dibuat oleh Micron, oleh itu produk kami menjadi penting. Kami semakin besar kerana penstoran juga menjadi bahagian yang kian besar dalam industri semikonduktor.

“Peluang pertumbuhan kami sangat besar dan kami boleh mengharungi kitaran menurun semasa industri. Kami mahu merekodkan prestasi kukuh dan pertumbuhan berterusan sejajar dengan permintaan pasaran,” katanya.

Sanjay berkata, operasi di Pulau Pinang, yang menyediakan lebih 4,000 peluang pekerjaan, menjadi bahagian yang sangat penting dalam rangkaian pembuatan global Micron, terutama dari segi peluang besar yang diwakili oleh industri memori dan penstoran dalam ekonomi global.

Justeru, beliau berkata pembangunan tenaga kerja juga terus menjadi antara keutamaan teratas Micron dengan pihaknya telah melaksanakan pelbagai program untuk membangun, menarik dan mengekalkan bakat.

Micron juga menekankan kerjasama dengan universiti tempatan untuk mencetuskan minat dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik dalam kalangan belia, terutama terhadap jenis kejuruteraan yang diperlukan oleh industri semikonduktor, selain menyediakan latihan industri dan geran penyelidikan, katanya.

“Melalui latihan industri, kami berharap dapat melatih tenaga kerja masa depan yang diperlukan oleh industri. Kami juga memberi geran penyelidikan kepada universiti dalam bidang berkaitan AI, bahan semikonduktor dan aktiviti kejuruteraan lain,” katanya.

Bagi memastikan kesejahteraan pekerja, Micron baru-baru ini mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak yang dibiayai oleh awam-swasta yang pertama di negara ini dalam usaha untuk menyokong keseimbangan antara kehidupan dengan kerjaya.

Atas dasar mewujudkan persekitaran yang menyokong dan prihatin, Micron memahami bahawa akses kepada penjagaan anak adalah antara faktor terbesar yang menentukan sama ada ibu bapa dan khususnya ibu yang bekerja mampu membina kerjaya yang kukuh dan memuaskan.

Pusat jagaan kanak-kanak itu ditubuhkan melalui perkongsian dengan kerajaan Pulau Pinang dan TalentCorp, serta diuruskan oleh WhyteHouse Education Group, pengendali kemudahan pendidikan awal kanak-kanak yang terkemuka di Malaysia.

“Kami menyasar untuk membina budaya kerjasama, kepelbagaian, keterangkuman dan kemampanan dalam operasi kami,” katanya.

Baca Lagi:
Kilang Dutch Lady pula bakal ditutup di Petaling Jaya
Tular senarai penuh barisan jemaah Menteri Kabinet Malaysia 2022-2027
Sanusi gelar kabinet Anwar kerajaan ‘luar tabii’
CATEGORIES