MH370: 8 tahun sudah berlalu, waris berdoa agar pencarian menemui titik noktah

MH370: 8 tahun sudah berlalu, waris berdoa agar pencarian menemui titik noktah

MH370: 8 tahun sudah berlalu, waris berdoa agar pencarian menemui titik noktah. Lapan tahun sudah berlalu dan saban tahun, doa sentiasa dipanjatkan, harapan sentiasa mengisi jiwa, mengharap keajaiban pesawat yang hilang secara misteri pada 2014 ditemui segera.

Begitulah perasaan dikongsi waris kepada anak kapal Penerbangan MH370, Malaysia Airlines (MAS), semuanya berdoa agar pencarian kapal berkenaan menemui titik noktah.

Setiap kali ada petunjuk baharu, hati kembali berbunga namun sayangnya sehingga ke hari ini, hanya kekecewaan menemani mereka.

Nurlaila Ngah @ Awang, 48, isteri pramugara kanan pesawat berkenaan, Wan Swaid Wan Ismail berkata, dia sentiasa berdoa kepada ALLAH SWT dan yakin suatu hari nanti kapal terbang yang hilang ditemui jua.

“Saya pasrah dengan ketentuan itu, tiga orang anak saya pun dah besar… saya teruskan kehidupan dan berjuang untuk besarkan mereka semua.

“Alhamdullilah yang sulung lelaki dah tamat persekolahan dan sambung pelajaran di kolej matrikulasi, nombor dua sedang menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun ini, manakala yang perempuan bongsu, masuk tingkatan empat.

“Tipu kalau kata tak sedih, kehidupan kena diteruskan dalam pada masa yang sama saya harap dan yakin suatu hari nanti pesawat itu akan ditemui,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Menurut Nurlaila yang bertugas sebagai perunding unit amanah, hanya rindu dan ingatan terhadap suami Wan Swaid tidak pernah hilang.

“Anak-anak pun semuanya faham, cuma bezanya tidak ada kubur untuk di ziarah tapi saya dapat rasakan dia sentiasa ada bersama kami,” katanya.

Bagi Selamat Omar, 67, bapa kepada Mohd Khairul Amri, penumpang pesawat MH370 pula, dia sentiasa menunggu khabar pesawat itu akan ditemui.

“Lapan tahun kami kehilangan Mohd Khairul, kalau usaha pencarian diteruskan oleh mana-mana pihak kami bersyukur, tapi saya minta kerajaan teliti dahulu apakah pencarian itu berbaloi dengan belanja yang bakal dikeluarkan,” katanya.

Mohd Khairul Amri yang juga jurutera adalah antara 239 anak kapal serta penumpang pesawat MH370 yang dalam perjalanan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur bagi menjalankan tugas membaiki sebuah pesawat syarikat penerbangan di sana.

Menurut Selamat lagi, sesiapa pun tidak mahu tragedi seperti itu berlaku tetapi nalurinya kuat mengatakan kapal itu akan ditemui.

Dalam pada itu Kelvin Shim, 47, suami kepada pramugari pesawat MH370, Christine Tan berkata, setakat ini kerajaan ataupun mana-mana pihak tidak pernah menghubunginya berhubung perkembangan pencarian pesawat yang hilang itu.

“Saya berharap kerajaan Malaysia akan berusaha secara proaktif termasuk bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti Ocean Infinity, Biro Keselamatan Pengangkutan (ATSB) Australia serta kumpulan sukarelawan dari seluruh dunia untuk mencari pesawat itu,” katanya.

MH370: 8 tahun sudah berlalu, waris berdoa agar pencarian menemui titik noktah

Katanya lagi, bukti yang kukuh tidak akan muncul dengan sendirinya jika kerajaan tidak secara aktif mencarinya.

“Memang benar kerajaan tidak pernah meninggalkan usaha untuk mencari MH370 tetapi tiada usaha dilakukan untuk mencari bukti kukuh ini.
“Sebagai contoh dalam dua tahun ini ada berita serpihan MH370 dijumpai di pantai Afrika tetapi status siasatannya tidak diberitahu secara rasmi kepada semua waris penumpang MH370,” jelasnya.

Pada 8 Mac 2014, pesawat Malaysia Airlines yang membawa 239 orang penumpang meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China namun hilang daripada skrin radar selepas kira-kira dua jam setelah berlepas.

Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di selatan Lautan Hindi namun pesawat atau bangkainya tidak ditemukan.

Kehilangan pesawat itu menjadi misteri terbesar dalam industri penerbangan, dengan misi mencari paling lama dan mahal dalam sejarah kerana ia belum ditemui sehingga kini.

Terbaharu pada Februari lalu, pencarian pesawat itu dilaporkan dimulakan semula selepas teknologi baharu dikatakan membantu menentukan secara tepat lokasi pesawat tersebut terhempas.

‘Pemburuan’ MH370 kembali aktif selepas seorang jurutera aeroangkasa Britain, Richard Godfrey berkata, dia dapat mengesan kapal terbang Boeing 777 tersebut menggunakan teknologi pengesanan baharu, lapor MailOnline, Australia.

Baca Lagi:

“Bukan ke dilarang merokok dalam pengangkutan awam? Macam mana lesen boleh lulus ni.”- netizen

AJL36: Individu berpelukan dikompaun langgar SOP

[VIDEO] Lelaki panjat bumbung selamatkan diri setelah keretanya nyaris tenggelam

CATEGORIES