‘Mereka tanggal kain, tutup aurat saya, sambut bayi’, wanita Melayu kongsi detik bersalin dibantu peserta Thaipusam

‘Mereka tanggal kain, tutup aurat saya, sambut bayi’, wanita Melayu kongsi detik bersalin dibantu peserta Thaipusam

Walaupun dipenuhi kesan darah, Lidawati Zakaria nekad mencuci dan menyimpan selendang atau “tundu” yang diberikan peserta Thaipusam untuk beliau bersalin dalam sebuah pikap, semasa perayaan itu di Batu Caves baru-baru ini.

Beliau tidak dapat melupakan budi baik Marie Puspan dan anaknya, Naroshini Annaselam, yang tidak dikenalinya namun tampil menyambut kelahiran bayi perempuannya dalam pikap itu Selasa lepas.

“Sampai sekarang saya simpan kain itu yang diguna mak cik dan kakak untuk tolong sambut bayi kami.

“Saya terharu… ramai yang tolong. Saya terkejut sebab mereka sanggup tanggalkan kain walaupun ia untuk perayaan mereka? Lagi pun ada darah kan? Tapi mereka masih (tolong) tutup aurat saya,” kata Lidawati kepada FMT.

‘Mereka tanggal kain, tutup aurat saya, sambut bayi’, wanita Melayu kongsi detik bersalin dibantu peserta Thaipusam

Marie Puspan dan anaknya, Naroshinii Annaselam menyambut kelahiran bayi di hadapan kuil di Batu Caves.

Pertolongan spontan Marie dan Naroshini serta penganut lain dalam memastikan Lidawati selamat melahirkan anak kelimanya dalam keadaan “darurat” menjadi tular, susulan laporan FMT.

Ia dilihat menyerlahkan semangat kekeluargaan masyarakat dalam menghulurkan apa juga bantuan dalam sebarang keadaan, merentasi perbezaan kaum dan agama.

‘Mereka tanggal kain, tutup aurat saya, sambut bayi’, wanita Melayu kongsi detik bersalin dibantu peserta Thaipusam

Peserta perayaan Thaipusam membantu melindungi aurat Lidawati semasa proses melahirkan

Bagi Lidawati sendiri, apa yang dilaluinya dalam pikap berdekatan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves ketika sambutan Thaipusam tidak mungkin luput daripada ingatan.

Ketika kejadian, beliau dan suaminya dalam perjalanan ke hospital di Gombak, selepas “turun tanda” untuk melahirkan bayinya yang kelima.

‘Mereka tanggal kain, tutup aurat saya, sambut bayi’, wanita Melayu kongsi detik bersalin dibantu peserta Thaipusam

Lidawati meriba bayinya yang dilahirkan lima hari lepas.

“Awal pagi sudah turun tanda saya nak bersalin. Jadi kami hantar (empat) anak-anak ke pengasuh dan kami bertolak awal sebab tak mahu sangkut kesesakan lalu lintas. Kami sampai di lokasi kejadian pada 7 pagi tapi orang sudah ramai berkumpul untuk Thaipusam.

“Di Tol Jalan Duta, air ketuban pecah. Suami saya sudah panik. Dia bawa kereta laju. Sebenarnya kalau ikut Waze, lagi lima minit nak sampai ke hospital bersalin. Tapi jalan sesak dan suami terpaksa berhentikan kereta,” katanya.

Ketika itu, bantuan yang tidak diduga dalam bentuk Marie dan Naroshini, serta beberapa peserta Thaipusam lain, memastikan Lidawati melahirkan anaknya tanpa apa-apa komplikasi.

“Ketika itu, ada mak cik (Marie) dan kakak (Naroshini) ketuk pintu dan bertanya adakah saya ‘okay’. Saya cakap saya melahirkan bayi. Mereka suruh saya buka pintu kereta. Saya kata tak apa sebab tak mahu ganggu perayaan mereka.

“Tapi mereka suruh saya buka pintu dan mereka tolong sambut bayi saya. Saya terharu sebab mereka buka kain sari dan tolong tutup keadaan saya. Kain sari mereka habis kotor kena darah saya.

“Ketika itu, seolah kita ini tak berbeza agama pun. Mereka pula yang bangga dan seronok lepas bagi keluar (bayi). Saya tak terkata apa-apa,” kata wanita berusia 39 tahun itu.

‘Mereka tanggal kain, tutup aurat saya, sambut bayi’, wanita Melayu kongsi detik bersalin dibantu peserta Thaipusam

Petugas kesihatan tiba selepas bayi kepada pasangan yang tinggal di Taman Meru Ria, Meru, itu dilahirkan.

Suaminya, Mohammad Ismaidi Ismail, 42, bersyukur “semuanya dipermudahkan” dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu.

“Terharu sangat, sebab lain bangsa yang bantu kami ketika itu. Terima kasih kepada mereka yang bantu.

“Ini anak perempuan pertama kami dan kelahirannya dalam kereta memang tak jangka, selalunya dekat hospital. Ini pengalamanlah,” katanya.

Setelah bayi perempuan itu selamat dilahirkan, pasangan itu serta bayi mereka dihantar ke Dewan Bersalin Muslimah Gombak.

Ismaidi dan isterinya masih belum menamakan cahaya mata mereka yang berusia lima hari, sesuatu yang akan mereka lakukan tidak lama lagi. – FMT

 

CATEGORIES
TAGS