Menjijikkan! Kilang proses makanan diarah tutup dicemari najis dan kencing tikus

Menjijikkan! Kilang proses makanan diarah tutup dicemari najis dan kencing tikus

Menjijikkan! Kilang proses makanan diarah tutup dicemari najis dan kencing tikus.

Najis tikus, bekas penutup soya dipenuhi kulat dan lipas merupakan antara yang ditemukan di sebuah kilang memproses produk berasaskan kacang soya di Batu Lanchang di sini.

Selain itu, kilang yang beroperasi sejak 10 tahun lalu juga didapati mengabaikan kebersihan apabila meletakkan bekas berisi kacang soya di atas lantai tandas di kilang itu.

Malah tambah menjijikkan, kawasan kilang yang menghasilkan produk seperti air kacang soya, tauhu serta taufufa untuk edaran di sekitar pusat bandar tersebut turut berbau hancing dipercayai kesan daripada air kencing tikus.

WhatsApp Image 2022 04 02 at 1.42.49 PM

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM), Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), Mohd. Wazir Khalid berkata, pihaknya pernah menyerbu kilang berkenaan dua tahun lalu dan pemiliknya dikompaun serta kilang itu diarahkan tutup kerana tidak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Hari ini menerusi intipan yang dijalankan kita menyerbu semula kilang yang menghasilkan produk soya ini dan dapati kilang ini amat menjijikkan.

“Kita menjumpai tikus berkeliaran di kilang ini, malah najis haiwan perosak itu berada di merata-rata tempat manakala sarang lipas turut dijumpai di dalam tempat penyimpanan kacang soya,” katanya ketika ditemui selepas Ops Tegar Siri 2, di sini hari ini.

Menurutnya, pemilik kilang memberi alasan tidak mempunyai tenaga kerja mencukupi dan tidak dapat menjalankan kerja-kerja pembersihan di kilang tersebut yang mempunyai tiga pekerja termasuk dua warga asing.

“Kehadiran makhluk perosak seperti tikus amat berbahaya kerana boleh menyebabkan pencemaran silang serta menjadi punca penyakit kencing tikus.

“Kilang ini telah dikenakan tiga notis termasuk notis penutupan kerana tidak mematuhi standard dan piawaian kebersihan yang ditetapkan serta pemiliknya dikenakan kompaun RM5,500,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Wazir berkata, sebuah kilang pembuatan mi dan kuetiau di Jalan Perak juga diarahkan ditutup selama 14 hari serta dikenakan kompaun RM5,500 selepas didapati beroperasi dalam keadaan yang kotor.

“Kita dapati peralatan untuk menghasilkan mi dan kuetiau di kilang ini dipenuhi habuk.

“Malah, terdapat peralatan dipenuhi dengan lendir dan kita percaya tidak pernah dibasuh oleh pekerja dan pemilik di situ,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik premis yang didapati melanggar peraturan membabitkan keselamatan makanan di negeri ini.

Baca Lagi:

Pengunjung pusat hiburan dikompaun RM97,000 kerana langgar SOP

1 Malaysia kena tipu, wanita ini dedah kisah sebenar pelajar kena maki dengan prof

Demi penyatuan ummah, gabungan besar dari pembangkang akan berlaku hadapi PRU15

CATEGORIES