Memalukan! Israel kena ‘pulau’ di pentas antarabangsa. Beberapa delegasi asing telah meninggalkan dewan Persidangan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pada Khamis ketika wakil Israel ingin berucap yang jelas mengenai serangan yang dilancarkan ke atas Gaza.
“Ia adalah satu mesej kepada rejim Tel Aviv bahawa kami menolak kekejaman terhadap penduduk Palestin,” kata Menteri Buruh sementara Lubnan, Moustafa Bayram yang turut menyertai ‘langkah memulaukan’ Israel tersebut semasa sesi ke-112 persidangan di Geneva.
Bayram menjelaskan langkah bersama sekumpulan delegasi asing itu berlaku secara spontan sebagai tanda solidariti dengan Palestin.
“Laporan daripada pekerja Palestin membuktikan penderitaan yang mereka alami akibat sekatan dan amalan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan rejim Zionis,” tegasnya.
Pada Jumaat, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dikatakan sekali lagi menyerang kem pelarian di Gaza setelah menyerang sekolah yang dikelola oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dianggap sebagai ‘markas’ pejuang Hamas.
Sumber perubatan melaporkan kem pelarian Nuseirat disasarkan semula selepas kempen pengeboman yang diperhebatkan di seluruh Gaza termasuk timur Deir al-Balah.
Kawasan kejiranan al-Sultan di Rafah juga diserang dengan bom dari pelbagai arah setelah kapal perang rejim Zionis turut mengebom kawasan penempatan nelayan Palestin.