MB Kedah pandu sendiri lori hantar bantuan air

0DA50640 E636 4B33 A2BF E27D4FA82F95

MB Kedah pandu sendiri lori hantar bantuan air. Selepas tular menunggang sebuah skuter ke pejabatnya, kali ini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilihat memandu sebuah lori pula.

Berdasarkan klip video berdurasi dua minit 25 saat itu, Muhammad Sanusi dilihat tidak ‘kekok’ memandu kenderaan berat terbabit walaupun terpaksa melalui jalan sempit di dalam kampung.

Menariknya, beliau turut menolong penduduk kampung mengisi bekalan air bersih dari tangki di atas lori yang dibawanya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menerusi satu hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, beliau tidak ‘senang duduk’ melihat rakyatnya mengalami masalah air.

“Hari ni (kelmarin) saya usaha pi hantaq ayaq (air) sekadar yang mampu, sementara SADA (Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan pihak-pihak berkenaan dapat selesaikan, jangka pendek dan jangka panjang,” tulisnya pada hantaran.

Tambah beliau, ketika ini ramai yang terkesan dengan masalah tekanan air rendah ditambah pula dengan musim kemarau.

“Ramai terkesan dengan masalah ayaq kot sini. Tekanan ayaq rendah, tambah pula dengan kemarau.

“SADA melalui Pengurusan Wilayah Kedah Timur dan Ibu Pejabat sedang usahakan penyelesaian. Doakan segala usaha berjalan lancar dan dipermudahkan ya,”ujarnya.

Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen memuji sikap yang ditunjukkan Menteri Besar itu kerana beliau seorang pemimpin berjiwa rakyat dan sanggup menghantar bekalan air kepada penduduk dengan memandu lori sendiri.

“Alhamdulillah, tahniah MB, turun padang tengok sendiri masalah rakyat dan cuba buat sendiri, semoga dirahmati Allah.

“Masalah rakyat bukan saja pandai cakap dan komplen, kena turun padang, terbaik MB, inshaaAllah rakyat Kedah sentiasa berdoa segala usaha untuk kebaikan dan kebajikan kami,”tulis Fazilah Rashid.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.