Masjid Putra Nilai sedia khidmat ‘Nurseri Ramadan’ buat para jemaah yang bawa anak kecil

Photo of author

By Joe

Masjid Putra Nilai sedia khidmat ‘Nurseri Ramadan’ buat para jemaah yang bawa anak kecil. Sebelum ini, tular di laman media sosial mengenai ibu bapa yang membawa anak kecil ke masjid dikatakan sebagai ‘mengganggu’ kerana anak-anak tersebut bermain. Jadi, bagi menyelesaikan masalah ini sempena Ramadan kali ini, Masjid Putra Nilai mengambil inisiatif mengumumkan perkhidmatan asuhan kanak-kanak.

Bahkan, ada masjid lain juga yang menyediakan perkhidmatan mesra kanak-kanak supaya jemaah masjid yang hadir lebih selesa dan tidak risau mengenai anak-anak mereka.

Untuk pengetahuan semua, masjid ini merupakan antara masjid terawal yang menyediakan tempat asuhan kanak-kanak bagi jemaah yang datang untuk menunaikan solat tarawih. Sudah semestinya, ruangan khas ini adalah untuk memudahkan para jemaah yang sukar meninggalkan anak mereka di rumah.

Masjid Putra Nilai sedia khidmat 'Nurseri Ramadan' buat para jemaah yang bawa anak kecil

Menurut pihak pengurusan Masjid Putra Nilai, perkhidmatan yang dikenali sebagai ‘Nurseri Ramadan’ itu menyediakan tempat selamat buat si kecil yang berumur 3 hingga 9 tahun. Dalam laman Facebook masjid, dinyatakan bahawa nurseri ini dibuka dari jam 8 malam hingga 10.30 malam sepanjang bulan puasa, bertempat di Dewan Besar Masjid Dato’ Klana Petra, Undang Luak Sungei Ujong, Putra Nilai.

Lebih menarik lagi, pelbagai jenis aktiviti disediakan supaya si kecil boleh meluangkan masa bersama rakan-rakan yang lain. Antaranya:

– Permainan Soopa Doopa
– Tayangan cilik
– Kanak-kanak juga boleh bermain permainan video e-sport di kiosk TGS Studio seperti Virtual Reality Astro Bot, X-Box Kinect dan Nintendo Switch Sport. Namun penyertaan bagi aktiviti ini adalah berbayar.

Walaupun sudah disediakan kemudahan asuhan sebegini, pihak masjid turut mengingatkan ibu bapa untuk berpesan kepada anak kecil supaya menjaga adab semasa berada di rumah Allah SWT. Selain itu, anak-anak juga harus dinasihati supaya menjaga akhlak ketika bermain dengan rakan lain sebagai contoh tidak menolak, memukul, dan perkara-perkara lain yang boleh membawa kepada kecederaan.

Bukan sahaja di Masjid Putra Nilai, malah Masjid Wilayah Persekutuan juga menyediakan tempat asuhan untuk anak-anak yang digelar sebagai Program Asuhan Masjid Wilayah.

Lokasi: Ruang Legar Tingkat 2, Anjung C, Masjid Wilayah Persekutuan
Pendaftaran anak: Secara percuma dan hanya perlu walk-in

“Bawa si kecil bersama dan nikmati ibadah dengan lebih khusyuk. Kami sedia menjaga mereka dengan penuh kasih sayang,” kata pengendali akaun Instagram Masjid Wilayah Persekutuan.

Menerusi video perkongsian, kelihatan anak-anak menghabiskan masa dengan permainan-permainan dan tayangan kartun. Bukan itu sahaja, ada juga sedikit kudapan makanan dan minuman buat kanak-kanak tersebut. Terbaik!

Diharapkan banyak lagi masjid yang akan wujudkan kemudahan sebegini supaya anak-anak terjaga semasa ibu bapa menunaikan solat tarawih…

Baca Lagi:
Ini cara betul pakai ihram untuk lelaki mengikut sunnah
Penumpang ‘Gila’ tarik rambut wanita kena tumbuk dengan pramugara
Lelaki pandu Myvi sampai ke China tanpa sebarang masalah buat ramai kagum