Manusia terkaya di dunia, Jeff Bezos hilang RM67 bilion dalam masa sehari. Nilai kekayaan Jeff Bezos susut sebanyak AS$15 bilion (RM67 bilion) dalam tempoh hanya satu hari selepas kejatuhan pasaran saham, yang menyaksikan 500 individu terkaya dunia, termasuk Mark Zuckerberg dan Elon Musk, kehilangan sebanyak AS$134 bilion (RM598.4 bilion) secara keseluruhan.
Portal berita MailOnline melaporkan bahawa saham laman e-dagang milik Bezos, Amazon, merosot sebanyak 8.8 peratus pada Jumaat lalu sebagai sebahagian daripada penjualan besar-besaran dalam pasaran.
Situasi ini menyebabkan nilai kekayaan bersih Bezos jatuh kepada AS$191.5 bilion (RM855 bilion), kerana sebahagian besar kekayaannya terkumpul dalam syarikat itu.
Indeks Nasdaq 100, yang dikuasai oleh syarikat-syarikat teknologi, turut susut sebanyak 2.4 peratus. Kejatuhan ini juga memberi kesan kepada bilionair lain seperti Zuckerberg dan Musk.
Saham Meta Platforms Inc. milik Zuckerberg merosot sebanyak 1.9 peratus, menyebabkan beliau kehilangan nilai kekayaan lebih daripada AS$3 bilion (RM13.39 bilion).
Sementara itu, nilai kekayaan bersih Musk, yang bernilai AS$252 bilion (RM1.1 trilion), turut turun sebanyak AS$6.6 bilion (RM29.4 bilion) apabila saham Tesla menjunam sebanyak 4.2 peratus.