Mana maruah Mazlan, boleh jadi dia tahu tak jadi calon – Muhyiddin

prime minister muhyiddin yassin leads a scandal plagued coalition that seized power last year without an election 1627542285072 2

PAGOH – “Mana maruah dia, mengapa dia bersikap begitu dan baru sekarang hendak cakap soal itu ini. Boleh jadi dia sudah tahu tidak akan menjadi calon mungkin.”

Itu komen Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran tindakan Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang yang bertindak keluar dari parti hari ini.

Bagaimanapun, menurut Muhyiddin, tindakan Mazaln tidak menjejaskan Bersatu dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Malah beliau berkata, langkah berkenaan tidak memberi kesan apa-apa kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah pun terbubar, dipetik dari laporan Astro Awani.

Ditanya hasrat Mazlan mahu menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN), Muhyiddin berkata;

“Dia nak (masuk) UMNO? Dia fikir UMNO akan lantik (calonkan) dia? Bagi saya apa yang dia buat sudah tidak penting kerana kalau dia cakap awal-awal sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar, itu cerita lain.

“Sekarang ini sudah tidak jadi apa dan hanya tinggal sejarah sahaja lah. Dia nak keluar dan bawa dua orang (ADUN) ? Kenapa tidak 200,000 orang?” selorohnya.

Beliau terdahulu mengulas tindakan Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Putri Wangsa yang mengumumkan melepaskan jawatan dalam parti serta-merta dan memberi sokongan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor berkata, Mazlan tidak seharusnya mengambil langkah berkenaan memandangkan bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor itu juga memegang jawatan kanan dalam kerajaan negeri.

“Kita ini bukan pendendam tetapi wajarnya beliau yang duduk sebagai Exco dalam kerajaan kononnya atas nama Bersatu memikirkan dimanakah pendirian dia?

“Dia perlu memikirkan apakah langkah diambil itu tidak dianggap sebagai musuh dalam selimut,” tegasnya.- MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published.