Makan percuma lebih 20 buah restoran, lelaki ini guna alasan sakit jantung. Seorang ekspatriat yang tinggal di Sepanyol telah berpura-pura mengalami serangan jantung di sekurang-kurangnya 20 restoran untuk mengelakkan daripada membayar bil makanannya.
Akhbar The Sun melaporkan bahawa lelaki berusia 50 tahun yang berasal dari Lithuania tersebut telah dijatuhi hukuman penjara kerana dia gagal membayar dua denda selepas penipuannya terbongkar.
Gambar yang diedarkan sebagai amaran kepada restoran lain memaparkan satu senario di mana lelaki tersebut berpura-pura rebah di atas lantai.
Dia akan melakukan penipuan ini hampir setiap kali mengunjungi restoran yang menjadi sasaran utamanya, terutamanya di Costa Blanca.
Menurut pemilik restoran, lelaki itu biasanya akan memesan beberapa gelas minuman keras selepas menikmati hidangan salad. Kemudian, dia akan berpura-pura mengalami serangan jantung.
Antara restoran yang pernah menjadi mangsa penipuan lelaki tersebut ialah EL Buen Comer dan Sale&Pepe, kedua-duanya terletak di bandar Alicante.
Pengurus restoran El Buen Comer berkata: “Ia sangat dramatik, dia berpura-pura pengsan dan merebahkan dirinya di atas lantai.
“Kami telah menyebarkan gambarnya ke semua restoran untuk menghalangnya menipu lagi,” katanya.
Ekspatriat tersebut kini telah dipenjarakan selama 42 hari kerana enggan membayar dua denda yang dikenakan kepadanya.