Mahkamah tutup kes Syed Saddiq

Mahkamah tutup kes Syed Saddiq

Mahkamah tutup kes Syed Saddiq. Selepas 30 saksi memberi keterangan, pihak pendakwaan hari ini menutup kes Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat tuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Saksi terbabit termasuk ibu dan bapa bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz serta Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff dan bekas Penolong Bendahari ARMADA BERSATU, Rafiq Hakim Razali, yang dipanggil memberi keterangan bermula 21 Jun lalu.

Mahkamah tutup kes Syed Saddiq

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil semula tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu Mohd Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip untuk pemeriksaan balas.

Pendakwaan juga menawarkan 13 saksi kepada pembelaan termasuk dua pegawai forensik SPRM, Moses anak Lawrence dan Wan Zulkifli Wan Jusoh serta rakan Syed Saddiq, Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.

Susulan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Azhar Abdul Hamid, memerintahkan pendakwaan dan pembelaan untuk memfailkan hujahan bertulis pada Jumaat atau Isnin depan.

Mahkamah turut menetapkan 6 dan 7 Oktober ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan, sebelum memutuskan sama ada Syed Saddiq dibebaskan daripada pertuduhan itu atau diperintahkan untuk membela diri.

Selain Wan Shaharuddin, pendakwaan diwakili Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Ahli Parlimen Muar itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, di antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

BACA JUGA :

44 senarai harta yang dimiliki oleh Taib Mahmud didedah

Selepas kantoi laporan palsu, Madrasah Darussolihin tuntut ganti rugi RM20 juta

Bapa jutawan, tapi nafkah anak hanya RM5,000 sebulan dedah bekas isteri DDNK

CATEGORIES