Lim Kit Siang geli hati dengar Muhyiddin desak Anwar & Zahid letak jawatan

Photo of author

By Joe

Lim Kit Siang geli hati dengar Muhyiddin desak Anwar & Zahid letak jawatan. Pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang geli hati dengan desakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Kit Siang secara sinis mempertikaikan tindakan Muhyiddin yang dilihat sibuk meminta pemimpin lain meletakkan jawatan, sedangkan bekas Perdana Menteri itu tidak berani mengambil tindakan sama walaupun PN tidak mencapai sasaran untuk membentuk pentadbiran semua enam negeri pada PRN, semalam.

Lim Kit Siang geli hati dengar Muhyiddin desak Anwar & Zahid letak jawatan

“Saya berasa geli hati dengan gesaan Muhyiddin yang meminta Anwar meletakkan jawatan, namun beliau sendiri tidak meletakkan jawatan walaupun sebelum ini secara gah menyatakan PN boleh menang 5-1, jika tidak 6-0 dalam PRN.
“Tambahan pula, adakah Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri apabila UMNO kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13),” katanya.

Semalam, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, mendesak Anwar dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dengan serta-merta.

Muhyiddin dilaporkan berkata, ia susulan kejayaan besar PN meraih sokongan pengundi Melayu dalam PRN, sekaligus menandakan bahawa gabungan itu adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini.

Melalui keputusan PRN, semalam, PN berjaya meraih 146 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 245 kerusi dipertandingkan, Pakatan Harapan (80 kerusi) dan Barisan Nasional (19 kerusi).

Sebelum ini, Muhyiddin turut dilaporkan berkata, PN mampu menawan tiga negeri baharu dan kekal berkuasa di tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu yang ditadbir gabungan parti itu jika 90 peratus pengundi Melayu keluar mengundi pada PRN.

Pada masa sama, Kit Siang berkata, pihaknya turut mempersoalkan sama ada PN yang ditunjangi parti utama, BERSATU dan PAS akan diterajui oleh pemimpin oktogenarian atau mereka yang berusia lingkungan 80 hingga 89 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.

Muhyiddin yang mengasaskan parti BERSATU bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2016, kini berusia 76 tahun, sebaya dengan pemimpin utama PAS, iaitu Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Baca Lagi:
“Selama 3 tahun aku bersekongkol dengan mak ayah” depan mata aku dia buat, yang pelik suami diamkan je..
Asal usul Melayu yang ramai tak tahu, rupanya Melayu itu wujud 60,000 tahun dahulu
Kasut mengandungi kulit babi, New Balance Malaysia hentikan jualan, pelanggan yang dah beli berhak dapat pertukaran atau bayaran balik penuh