Lelaki umur 45 tahun bunuh jiran kerana berang kerap ditanya bila nak kahwin. Seorang lelaki berusia 45 tahun di Indonesia ditahan selepas nekad membunuh jirannya kerana kerap ditanya bila hendak berkahwin, lapor saluran berita Tribun News semalam.
Kejadian berlaku di Pasar Simangambat, wilayah Sumatera Utara pada Isnin, 29 Julai lalu.
Suspek, Parlindungan Siregar, dilaporkan memukul mangsa, Asgim Irianto, 60, menggunakan kayu sehingga mangsa meninggal dunia.
Menurut pegawai polis tempatan, AKP Maria, suspek dipercayai memukul mangsa kerana marah ditanya tentang bila dia hendak berkahwin.
“Mangsa sempat melarikan diri tetapi dikejar oleh suspek dan dipukul berkali-kali di bahagian kepala.
“Pembunuhan itu berhenti selepas seorang individu meleraikan mereka dan mengambil kayu tersebut,” kata AKP Maria.
Walaupun telah dibantu, nyawa mangsa tidak dapat diselamatkan.
“Masyarakat membantu membawa mangsa ke pusat kesihatan masyarakat.
“Setibanya di puskesmas, pihak puskesmas menyatakan mangsa sudah meninggal dunia,” kata Maria pada Rabu (31/7/2024).
Polis berjaya menahan suspek dan membawanya ke Balai Polis Tapanuli Selatan untuk disoal siasat.