Lelaki tikam rakan 15 kali hingga maut selepas gagal jawab soalan ‘ayam ke telur keluar dulu?’. Siapa sangka teka-teki berunsur jenaka yang biasa digunakan untuk menguji minda ini akhirnya membawa kepada tragedi maut.
Gara-gara berang dengan soalan tersebut, seorang lelaki di Indonesia tergamak menikam mangsa, Kadir Markus, 47, sebanyak 15 kali dengan badik dalam kejadian yang menggemparkan di sebuah desa di daerah Tongkuno, kabupaten Muna di Sulawesi Tenggara pada minggu lalu.
Menurut polis, kedua-dua lelaki itu berada di bawah pengaruh alkohol ketika insiden berlaku.
Pelaku yang dikenali sebagai DR dikatakan telah mengajukan soalan paradoksikal tersebut kepada Kadir, menyebabkan berlakunya pertengkaran tidak lama selepas itu.
“Kadir kemudiannya mahu meninggalkan lokasi, namun tindakannya mengundang kemarahan DR yang berlari pulang ke rumahnya untuk mengambil sebilah badik lalu menikam mangsa,” ujar Ketua Unit Siasatan Jenayah Daerah, La Ode Arsangka.
Sementara itu, Ketua Polis Tongkuno, Iptu Abdul Hasan, mengesahkan bahawa suspek telah ditahan dan senjata berbahaya serta sepasang seluar miliknya turut dirampas.
“Dia telah didakwa dengan kes pembunuhan dan bakal dihukum penjara sehingga 18 tahun jika sabit kesalahan,” jelasnya lagi.