Lelaki terkejut beli rumah lama jumpa gelang emas seberat 19.53 gram ketika buat kerja pembersihan. Seorang pemuda berkongsi pengalaman pertamanya apabila menemui gelang emas sewaktu melakukan kerja pembersihan tangki septik di sebuah kediaman di Dungun, Terengganu.
Pencipta kandungan, Muhamad Sukri Sulaiman, 29, berkata, gelang emas seberat 19.53 gram itu dipercayai milik penghuni rumah terdahulu yang sudah lama meninggalkan kediaman tersebut.
“Saya baru sahaja membeli rumah ini; memang rumah lama. Banyak kerosakan, terutamanya di bahagian tangki kerana tersumbat. Jadi, saya mula melakukan kerja pembersihan sendiri dan hari ini adalah hari keempat,” katanya.
“Ketika saya sedang mencangkul najis dalam tangki, saya ternampak emas. Saya yakin itu emas kerana warnanya tidak luntur dan selepas dibasuh, tertera nombor 916 pada gelang tersebut. Tanpa berfikir panjang, saya terus muat naik di Facebook untuk mencari pemiliknya,” kata Sukri kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sukri menambah bahawa pemilik barang tersebut telah menghubunginya dan akan bertemu dalam masa terdekat. Menurutnya, individu tersebut mendakwa emas itu hilang 20 tahun lalu ketika masih mendiami rumah tersebut.
“Jika saya tidak dapat mencari pemiliknya, saya tidak akan mengambilnya. Saya mungkin akan serahkan kepada pihak berwajib seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Tetapi sebelum itu, saya akan manfaatkan kelebihan yang ada dengan menguar-uarkan di Facebook terlebih dahulu memandangkan jumlah pengikut saya agak tinggi. Dengan cara itu, mungkin orang ramai boleh bantu sebarkan maklumat sehingga pemilik asal gelang itu dapat ditemukan,” jelas Sukri.
Tambah Sukri, walaupun barangan tersebut mempunyai nilai yang tinggi, dia tidak akan menyimpan atau menggunakannya untuk kepentingan diri kerana ia bukan miliknya.
Menurutnya, sebagai umat Islam, dia sentiasa memegang prinsip bahawa ALLAH memerhati setiap pergerakan dan perbuatan hamba-Nya.
“Jadi, tidak perlu kita mengambil barang yang bukan hak kita, walaupun orang tidak nampak, tapi ALLAH nampak. Tambahan pula, jika saya mengambil gelang itu, saya hanya akan mendapat keuntungan sekejap di dunia dan akan menerima balasan di akhirat,” ujar Sukri.