Lelaki terkejut beli aiskrim kacang disaluti ular beku buat netizen seram. Seorang lelaki di Thailand terkejut apabila mendapati aiskrim yang dibelinya disaluti dengan ular beku, lapor The Straits Times.
Lelaki tersebut memuat naik gambar aiskrim itu di Facebook pada 4 Mac lalu yang mendapat 8,400 reaksi, 2,400 komen, dan 9,100 perkongsian.
Berdasarkan gambar itu, kepala ular berwarna hitam dan kuning dapat dilihat dengan jelas.
Dalam kapsyen, lelaki itu menyatakan bahawa dia membeli aiskrim kacang hitam itu dari sebuah premis.
Beberapa netizen menyindir kejadian tersebut dengan seorang bertanya sama ada ular itu akan dihidupkan semula di bawah cuaca panas dan seorang lagi berkata, ia sebagai penggalak protein.
Netizen lain pula meluahkan rasa seram dengan penemuan yang tidak dijangka itu.
Beberapa netizen juga membuat spekulasi mengenai spesies ular itu yang mungkin Chrysopelea ornata.
Menurut laman web Taman Negara Thailand, ular jenis itu berbisa ringan dan boleh ditemui di banyak negara termasuk India, Bangladesh, Sri Lanka, Thailand, dan Vietnam.