Lelaki tak balik rumah bertahun-tahun terkejut lihat isteri & anak hanya tinggal rangka, nota di dinding buat ramai sebak. Seorang suami terkejut apabila menemukan dua rangka yang dipercayai milik isteri dan anaknya di dalam rumah selepas bertahun-tahun tidak pulang, dalam satu kejadian di Indonesia.
Menurut laporan media, lelaki bernama Mudjoyo Tjandra pulang semula ke rumah itu untuk mengambil barang-barangnya.
Namun, setibanya di situ, dia mendapati rumah tersebut telah dikunci dari dalam. Oleh itu, dia meminta bantuan penduduk kampung untuk memecahkan pintu rumah berkenaan dan terus mencari kelibat dua beranak tersebut.
Bagaimanapun, keadaan bertukar hiba apabila si suami menemukan dua rangka manusia yang dipercayai isteri, Indah Hayati dan anak lelakinya, Elia Immanuel Putra yang terbaring di tempat tidur.
Kali terakhir dilihat sebelum pandemik
Menurut jiran di kawasan tersebut, mereka tidak pernah menghidu bau yang mencurigakan dari rumah itu, dan kali terakhir mereka melihat Indah adalah sebelum pandemik melanda dunia.
Penduduk tempatan juga mengatakan bahawa mereka menyangka dua beranak itu sudah berpindah kerana pernah mendengar khabar angin bahawa rumah itu akan dijual. Tambahan pula, lampu rumah itu tidak pernah menyala pada waktu malam, yang menguatkan andaian mereka.
Mudjoyo menjelaskan bahawa dia telah meninggalkan rumah itu sejak tahun 2014 dan kali terakhir berhubung dengan anaknya pada November 2018, tanpa mengesyaki apa-apa.
Selain kejadian tersebut, perhatian juga tertumpu kepada permukaan dinding dalam rumah itu yang dipenuhi dengan tulisan luahan panjang yang ditujukan kepada Mudjoyo.
Susulan itu, pihak polis sedang menyiasat punca sebenar dua beranak itu meninggal dan meminta saksi kejadian tampil membuat laporan.