Lelaki mengaku saksi kemalangan maut di Senawang dedah cerita sebenar. Seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan saksi telah tampil menceritakan insiden kemalangan ngeri di persimpangan lampu isyarat Persiaran Senawang 1, berhampiran Matahari Height, pada Khamis lalu.
Dia melalui satu rakaman video yang dimuat naik di akaun TikTok Edy Noor Reduan mendakwa telah melihat sendiri kejadian tersebut kerana berada di persimpangan lampu isyarat berkenaan ketika insiden itu berlaku.
“Saya nak beritahu motosikal yang keluar simpang itu tak salah langsung. Lampu tu saya nampak hijau, baru motosikal itu keluar dan dilanggar dengan dentuman yang sangat kuat, meletup dan diikuti dengan laungan Allahuakbar oleh orang di sekitar.
“Maaf saya lambat ceritakan perkara ini kerana saya agak trauma dengan apa yang telah berlaku. Saya ini baru ada keberanian untuk bercakap soal ini,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, dua remaja lelaki maut, manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan yang melibatkan dua motosikal dirempuh sebuah kereta jenis Honda Jazz di persimpangan lampu isyarat di Persiaran Senawang 1.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss berusia 15 dan 16 tahun maut di lokasi kejadian.
Lelaki tersebut seterusnya mendakwa bahawa dia masih trauma mengingati keadaan mayat selepas pelanggaran yang menyebabkan bunyi dentuman kuat itu, yang menyebabkan motosikal terbakar, manakala kereta melanggar pokok.
“Saya berada paling depan dekat lampu isyarat itu. Kejadian berlaku depan mata saya. Saya nampak, saya jadi saksi macam mana motosikal itu betul-betul ikut undang-undang.
“Motosikal yang keluar simpang, saya nampak lampu isyarat sebelah sana sudah hijau, baru dia (motosikal) keluar dan dilanggar.
“Satu letupan berlaku depan mata saya. Umur saya panjang sebab kalau Honda Jazz itu mengelak ke kanan, memang kena kereta saya dulu,” dakwanya.
@edynoorreduanKatanya nak tuntut keadilan buat adiknya? Maaf saya lambat tampil, tapi saya sedia jadi saksi kerana saya nampak segalanya.. kelajuan, dentuman, letopan, kebakaran dan …♬ Last Hope – Steve Ralph