Lelaki mengaku pasang kamera dalam kolam air panas sejak tahun 2022, rakam lebih 1000 wanita mandi. Seorang lelaki di Jepun berdepan hukuman penjara selama dua tahun atas dakwaan merakam video pengunjung wanita yang sedang mandi di beberapa kolam air panas menggunakan kamera tersembunyi dalam batu palsu.
Lelaki berusia 31 tahun dari wilayah Fukushima itu ditahan pada bulan Mei lalu, selepas kamera tersebut ditemui oleh salah seorang wanita di kolam air panas di wilayah Yamagata.
Wanita tersebut mula-mula melihat pantulan aneh di dalam batu dan kemudiannya menyedari bahawa batu tersebut dipasang dengan kamera pengintip, lapor media Jepun TBS News Dig.
Polis berjaya menahan suspek ketika dia datang untuk mencari kameranya.
Suspek mengaku membeli membeli kamera (telelens) dalam talian dan membuat struktur batu palsu menggunakan tanah liat untuk menyembunyikan kamera tersebut.
Hasil siasatan, polis mengenal pasti 44 mangsa dalam rakaman video daripada kamera berkenaan.
Suspek juga mengaku melakukan perkara yang sama di kolam air panas berbeza sejak 2022, membabitkan kira-kira 1,000 mangsa.
Dia juga dilaporkan pernah didakwa kerana memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
Pendakwa raya telah meminta hukuman penjara dua tahun terhadap suspek, sambil menyifatkan jenayah yang dilakukannya sebagai ‘terancang, berulang, dan secara asasnya berbahaya’.
Keputusan penghakiman akan disampaikan pada 17 September.