Lelaki kesal bank dah tak terima duit syiling yang sudah lama menabung

Lelaki kesal bank dah tak terima duit syiling yang sudah lama menabung

Lelaki kesal bank dah tak terima duit syiling yang sudah lama menabung. Pelik! BANK TAK TERIMA DUIT SYILING?
Beberapa hari lepas saya pergi ke C**B Bank untuk buka akaun ASB anak perempuan saya yang berumur 4 tahun.

Cadangnya nak deposit sekali wang syiling yang dah penuh dalam tabung miliknya.

Saya tak ingat berapa lama dah dia simpan sikit demi sedikit duit syiling dalam tabung kesayangannya tu.

Tapi boleh dikatakan, ada saja baki duit syiling lebihan saya atau isteri saya beli barang, sudah pasti dia akan mintak untuk diisi dalam tabung tersebut.

Lelaki kesal bank dah tak terima duit syiling yang sudah lama menabung

Jadi bila saya bagi tahu yang saya akan simpan duit tabung dia yang dah penuh tu dalam bank, bukan main happy dan teruja nampaknya dia.

Jadi setelah nombor dipanggil, saya pun pergilah ke kaunter urusan di bank tersebut.

Saya pun menyerahkan borang untuk buka akaun ASB dan borang deposit wang beserta tabung wang syiling milik anak saya tadi kepada kerani yang bertugas di kaunter.

“Mintak Maaf Encik. Kami tak terima duit syiling. Kalau encik nak masuk duit syiling, encik kena pergi ke pejabat ASNB sendiri” kata kerani tersebut sebaik sahaja nampak saya menghulurkan tabung wang syiling tersebut.

“Laa..ye ke? Tak tahu pulak saya tak boleh. Sebab dulu-dulu saya masuk duit syiling tak de masalah pulak” jawab saya sedikit hairan dengan polisi bank tersebut.

Memang saya hairan, kenapa pulak bank tak boleh terima wang syiling? Sedangkan wang syiling tu Bank Negara jugak yang keluarkan.

Adakah wang syiling ni tak de nilai di sisi pihak bank sehingga mereka boleh tolak mentah-mentah begitu sahaja untuk deposit wang syiling. Memang saya betul-betul tak faham.

Agak sedikit kecewa jugak ketika itu. Kalau ikutkan mahu saja saya bersoal jawab dengan kerani tersebut lebih panjang lagi.

Tetapi disebabkan ketika itu saya ada hal lain yang agak urgent yang perlu diuruskan, saya pun keluarkan sahaja wang kertas daripada wallet saya dan berikan kepada kerani tersebut sebagai ganti kepada wang syiling yang tak berjaya di deposit kan tadi.

Terpaksalah saya “mengusung” balik tabung wang syiling anak saya tu. Rasanya ada dalam 3 – 4 kilo kot.

Sampai di rumah saya bagi tahu anak perempuan saya.

“Haifa, duit haifa tak laku..bank tak nak terima” niat saya saja nak menyakat dia.

Saya tengok air muka dia berubah. Mungkin sedih agaknya.

Maklumlah dia punya lah teruja nak simpan duit dalam bank setelah sekian lama penat bersusah payah memenuhkan tabung kesayangannya itu, tiba-tiba hajatnya tak kesampaian sebab alasan bank tak boleh terima wang syiling.

Saya pun cepat-cepat pujuk dia dan kata “Tak, ayah dah simpan dah..tapi ayah tukar guna duit ayah dulu”. Barulah dia nampak sedikit happy semula.

Saya ber “husnuzzan” mungkin bank tak boleh terima wang syiling tersebut sebab wang tersebut tak diasingkan. Jadi saya pun keluarkan wang syiling tersebut daripada tabung dan asing-asingkannya mengikut nilai masing masing di dalam plastik yang berlainan. Selepas tu saya kira dan catat jumlah setiap nilai wang syiling tersebut pada plastik.

Petang semalam saya cuba pula pergi ke pejabat ASNB sebagaimana yang diberitahu untuk masukkan wang syiling yang telah diasing-asingkan tersebut.

Tetapi malangnya apabila sahaja sampai di kaunter urusan di pejabat ASNB, saya sekali lagi diberitahu oleh pegawai di kaunter tersebut yang mereka juga tak terima wang syiling. Ahh, sudah..biar betul.

“Maaf Encik. Kami tak boleh terima wang syiling. Kalau Encik nak masuk wang syiling encik kena pergi ke bank” jelas pegawai yang jaga kaunter di pejabat ASNB tersebut.

“Encik, Saya dah pergi ke C**B Bank, mereka suruh datang sini. Sebab mereka kata tak boleh terima wang syiling. Sekarang encik nak suruh saya pergi ke bank pulak. Macam mana ni” tanya saya tak puas hati.

Ye lah..mesti semua orang akan rasa bengang bila kena “sepak” seperti bola macam tu kan. Kita pergi sana dia suruh datang sini. Bila kita datang sini dia suruh pergai sana pulak.

“Kenapa tak boleh terima duit syiling ye? Duit syiling ni dah tak laku ke? Kalau tak boleh simpan duit syiling, habis tu duit syiling ni nak letak mana?” tanya saya.

Kali ni memang saya ingat nak bersoal jawab panjang sikit. Maklumlah dah kena reject 2 kali.

“Sebenarnya bukan kita tak terima duit syiling, tapi kita tak boleh process on the spot. Jadi, kalau customer nak, kita ambil masa 3 hari proses. Memang polisi kita macam tu” jawab pegawai tersebut memberi penjelasan.

“Kenapa lama sangat prosesnya sampai 3 hari tu? Bukan nak kira pakai tangan kot? Letak sajalah dalam mesin kira duit syiling tu..lagipun saya dah asing-asingkan duit syiling ni..”jawab saya masih tak puas hati dengan jawapan yang tak masuk dek akal yang diberikan oleh pegawai tersebut.

“Minta maaf encik. Memang polisi kita macam tu. Saya hanya menjalankan tugas sahaja” jawab pegawai tersebut ringkas. Mungkin sebab dia dah malas nak layan saya bercakap kot.

“Susahnya polisi sekarang bila melibatkan orang miskin dan golongan bawahan macam saya ni ye? Nak simpan duit sendiri pun susah. Ya lah..duit sikit kot, syiling pulak tu”.

“Cuba kalau orang kaya dan yang ada kuasa tu, juta-juta pun senang-senang je lesap..senang pulak nak bawak keluar dari bank. Tapi kalau melibatkan rakyat miskin, orang kampung dan golongan bawahan macam saya ni, macam macam polisi. Ini tak boleh, itu tak boleh..” bebel saya dengan sedikit perasaan geram.

Macam jadi ceramah kempen pilihanraya pulak saya depan kaunter tersebut. Hehe..Saya tengok orang sebelah duk perati je..

“Cuba encik bayangkan, kalau orang yang datang jauh dari kampung , bawak tabung buluh penuh dengan duit syiling. Punyalah excited nak menyimpan di ASB sebab nak menyahut seruan kerajaan supaya menabung”.

“Tiba-tiba sampai sini diberitahu tak dapat simpan sebab tak terima wang syiling, macamana perasaan mereka? Atau anak kecil yang baru nak belajar menabung kan, penat-penat mereka simpan dalam tabung, tiba-tiba tak boleh simpan di bank sebab tak terima wang syiling. Macam mana perasaan mereka?” tanya saya masih tak puas hati dengan polisi yang pelik sebegitu.

“Macam ni lah encik. Jika encik nak, kami boleh uruskan, tapi ambil masa 3 hari lah. Dan sebelum tu encik kena isi borang ni. Kemudian kena pergi mati setem hasil RM10. Kemudian datang balik sini.” jelas pegawai tersebut.

“Pulak..Saya nak simpan duit saya sendiri, tapi saya pulak yang kena keluar duit extra untuk pergi mati setem. Lepas tu nak bawak lagi duit syiling ni usung sana sini..Kenapa nak disusahkan benda yang mudah macam ni?” tanya saya masih sedikit panas.

“Tak pelah. Saya ingat saya tak jadi lah nak simpan. Dan saya ingat nak buat aduan tentang polisi yang menyusahkan ni”

“Ok. Tak pe. Encik boleh buat aduan. Sila isi borang aduan ni. Nanti saya akan majukan kepada ibu pejabat untuk tindakan selanjutnya. Maaflah encik, saya hanya menjalankan tugas sahaja” kata pegawai tersebut dengan penuh sopan santun walaupun saya tahu telinga dia agak panas juga dengar “ceramah” daripada saya.

Selepas isi borang aduan tersebut dan diberikan kepada pegawai tadi, saya pun bawak balik semula lah wang syiling anak saya tadi. Dalam hati kata, mungkin tak de rezeki nak simpan duit ni kot.

Jadi melalui perkongsian saya ini, saya mintalah pihak ASNB atau pihak BANK NEGARA ambil perhatian serius tentang perkara ni.

Permudahkanlah polisi untuk simpanan wang syiling ni. Jika rasa susah untuk terima wang syiling sebab terpaksa ambil masa yang lama untuk kira, atau terpaksa guna mesin pengira dan sebagainya hapuskanlah sahaja wang syiling ni atau gantikan sahaja dengan wang kertas. Misalnya wang 20, 50 sen kertas dan sebagainya.

Dan jangan ingat semua orang mampu simpan wang kertas sahaja. Orang yang berpendapatan rendah atau kanak-kanak mungkin hanya mampu simpan wang syiling sahaja. Jangan di matikan semangat mereka untuk menabung dengan polisi yang remeh-temeh ni. Sedangkan kita sekarang sudah berada di zaman teknologi maklumat yang sangat canggih. Takkan nak handle isu duit syiling ni pun jadi masalah.

Dan permudahkan lah urusan rakyat terutamanya bagi golongan bawahan. Jangan bila melibatkan golongan marhean makin ketat protokol dan polisinya. Tetapi bila melibatkan golongan atasan mudah sahaja urusannya. Saya bukan mahu bercakap soal politik, tetapi perkara kecil sebegini lah yang menyebabkan rakyat kadang-kadang semakin muak dengan polisi-polisi pihak pentadbiran yang tidak “mesra alam” ni.

Akhir kata, saya telah buat aduan rasmi. Harap pihak berwajib dapat ambil tindakan segera untuk perbaiki mana-mana polisi yang tidak kena.

Maaf juga sekiranya coretan ini tidak disenangi. Moga ianya menjadi iktibar bagi kita bersama.

Baca Lagi:
Pakar kewangan dedah ramai rakyat mahu keluarkan duit KWSP sebab rasa belum tentu hidup selepas bersara
Rahsia ‘ustaz dunia’ akhirnya terbongkar, hidup mewah hasil duit derma
Siapakah sebenarnya Allahyarham Tan Sri’ P. RAMLEE?
CATEGORIES