Lelaki kena sengat 240 ekor tebuan tapi masih hidup. Seorang lelaki di United Kingdom bertuah kerana umurnya masih panjang walaupun terpaksa menanggung 240 sengatan tebuan, lapor laman berita Oddity Central pada 27 Ogos 2024.
Dia terpaksa bergantung pada morfin untuk beberapa waktu bagi meredakan kesakitan, selain menanggung trauma akibat kejadian tersebut.
Kejadian malang itu berlaku pada 18 Ogos lalu ketika Andrew Powell, 57, mahu meninjau ladang keluarganya di Brecon, Wales.
Katanya, sebaik keluar dari rumah, dia melihat segerombolan tebuan terbang ke arahnya dan mengesyaki ada individu atau mungkin petani yang mengusik sarang tebuan tersebut.
“Tebuan itu meluru terus ke arah saya dan saya berlari ke arah rumah sepantas mungkin. Namun, dalam beberapa saat, ia sudah mengepung dan menyengat saya.
“Saya dapat merasakannya hingga ke dalam seluar saya, ia ada di mana-mana.
“Ketika masuk ke dalam rumah, saya terlupa menutup pintu dan tebuan masuk ke dalam serta turut menyerang isteri saya,” katanya kepada BBC yang dipetik Oddity Central.
Powell bernasib baik kerana jirannya segera datang membantu dan membawanya ke Hospital Memorial Perang Brecon untuk mendapatkan rawatan.
“Saya terpaksa diberi morfin kerana kesakitan yang melampau dan mengalami reaksi alahan pada badan. Kakitangan hospital memberitahu, jika saya lewat lima minit lagi, sengatan itu mungkin membunuh saya,” katanya.
Lebih seminggu selepas tragedi itu, Powell berkata dia masih terasa perit akibat sengatan dan lemah kerana sebelum ini tidak dapat tidur disebabkan kesakitan yang melampau.
“Kesakitannya masih mencengkam. Setiap hari saya menemui banyak bekas sengatan. Ada 50 sengatan di sebelah punggung, 20 di belakang kepala, dan 20 di leher saya, manakala isteri saya pula mempunyai lebih 80 sengatan di setiap lengannya.
“Sehingga kini, saya tidak berani keluar rumah kerana takut diserang lagi,” katanya.