Lelaki kena saman dengan polis sebab letak telefon atas peha ketika memandu, rupanya ini peraturan yang ramai tak tahu. Menurut Candi Wan yang berasal dari Ipoh, beliau sedang bercuti di Pulau Pinang bersama keluarganya dan kakaknya memandu kereta tersebut sambil mengikut pengemudian yang dipaparkan dalam telefon. Peranti tersebut diletakkan di atas pahanya untuk memudahkan pemanduan.
Sewaktu memandu dalam sebuah bulatan, beliau mengangkat telefon itu seketika untuk menyemak pengemudian dalam telefon. Sejurus selepas itu, seorang anggota polis mengesan tindakan tersebut dan menyuruh beliau untuk memberhentikan kereta.
Beliau menjelaskan bahawa telefon itu sebenarnya diletakkan di atas paha, namun anggota polis itu menjelaskan bahawa meletakkan telefon di atas paha juga adalah satu kesalahan. Beliau dikenakan saman dan diarahkan untuk hadir ke mahkamah majistret pada bulan Ogos.
Beliau mengambil gambar isu saman itu dan memuat naiknya ke media sosial, di mana ia telah mendapat perhatian yang tinggi daripada netizen.
Di bawah Peraturan 17A Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan Raya 1959
Adalah menjadi satu kesalahan untuk menggunakan telefon bimbit semasa memandu kenderaan melainkan ia menggunakan kit atau pemegang bebas tangan. Jadi, tidak menjadi kesalahan sekiranya pengguna menggunakan kit atau pemegang telefon bebas tangan untuk mengeser atau menyentuh skrin paparan telefon untuk membuat atau terima panggilan.
Menurut sumber PDRM, perbuatan menggeser atau menyentuh paparan skrin telefon yang diletakkan pada alat pemegang bebas tangan adalah dibenarkan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik polis persekutuan Pesuruhjaya Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata undang-undang jelas mengenai perkara itu bahawa pemandu tidak boleh memegang telefon bimbit ketika kereta sedang dalam perjalanan mahupun ketika terhenti semasa kesesakan lalu lintas atau di lampu isyarat.
Tambahnya lagi, pemandu masih dianggap sebagai dalam mod pemanduan aktif dalam situasi yang disebutkan di atas. Penggunaan telefon dalam situasi seperti kesesakan atau di lampu isyarat hanya boleh dilakukan sekiranya ia dipasang pada alat bebas tangan dan tidak mengganggu pandangan pemandu serta selamat untuk digunakan.
Jelasnya lagi, penggunaan telefon tanpa pemegang dalam situasi yang disebutkan akan menyebabkan tumpuan pemandu terhadap jalan raya terganggu. Ini secara tidak langsung boleh mengundang bahaya dan menyusahkan pengguna lain apabila mereka terleka ketika trafik mulai bergerak.
Selain itu, telefon yang jatuh ke bawah dan cuba diambil oleh pemandu semasa memandu juga boleh menyebabkan kemalangan sekiranya kenderaan gagal dikawal semula dan sepatutnya kedua-dua tangan harus berada di stereng kenderaan bagi membolehkan ianya dikemudi dengan selamat.
Tambahnya lagi, sekiranya pemandu tidak mempunyai kit bebas tangan atau pemegang telefon, satu-satunya cara untuk mereka menggunakan telefon adalah dengan meletakkan kenderaan di tempat parkir.
Namun, Mat Kasim juga mengingatkan pengguna agar tidak berhenti di laluan kecemasan untuk tujuan menggunakan telefon kerana perbuatan berhenti di laluan kecemasan tanpa alasan munasabah adalah satu kesalahan.
Menjawab persoalan tentang penggunaan jam pintar semasa memandu, menurutnya ia dibenarkan asalkan jam berkenaan tidak dipegang di tangan.
Pada tahun 2020, polis mengumumkan bahawa penggunaan telefon bimbit semasa memandu tanpa bantuan pemegang atau kit bebas tangan bukan lagi satu kesalahan yang boleh dikompaun semata-mata.
Mereka yang dikeluarkan dengan saman atas kesalahan itu akan diheret ke mahkamah dan berdepan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan manakala penalti digandakan untuk pesalah berulang.