Lelaki ini berjaya cipta 15 rekod dunia dalam masa satu hari. Seorang lelaki dari Idaho, Amerika Syarikat (AS) mencipta sejarah dengan pencapaian luar biasa setelah memecahkan 15 Rekod Dunia Guinness (GWR) dalam sehari, lapor portal berita NDTV pada 10 Ogos 2024.
Menurut GWR, David Rush telah memecahkan lebih 250 rekod dunia sepanjang hayatnya. Baru-baru ini, dia mengunjungi ibu pejabat GWR di London untuk mencuba mencipta rekod dunia paling banyak secara serentak, yang kini mencapai 180.
“Mengadili banyak rekod dalam satu hari adalah memenatkan, jadi saya lebih kagum bagaimana Rush terus memecahkan rekod tanpa kelihatan penat,” kata Will Sinden, pengadil rasmi untuk GWR.
Menurut GWR, Rush memulakan penampilan dengan bakat juggling yang mengagumkan.
“Dia mengunyah tiga epal dengan gigitan terbanyak sambil melakukan juggling dalam satu minit, dengan 198 cubaan yang mengagumkan.
“Dia kemudian menggunakan ketangkasannya untuk merekodkan masa terpantas untuk melantunkan bola ping pong pada dua penutup botol 10 kali menggunakan tangan secara bergilir-gilir, mencapai kejayaan sukar itu dalam masa 2.09 saat sahaja.
“Dia juga memecahkan rekod bagi sentuhan besbol dengan sisi tangan berselang-seli dalam masa 30 saat, dengan jumlah keseluruhan sebanyak 125,” katanya.
Antara rekod yang dicipta termasuk bola ping pong paling banyak melantun ke dinding menggunakan mulut dalam masa 30 saat, serta jumlah terbanyak dipukul ke dinding dalam satu minit.
Rush juga berjaya mencipta rekod lain termasuk masa terpantas untuk melipat dan membaling pesawat kertas dengan hanya 5.12 saat.
Rekod lain yang dicipta Rush pada hari yang sama adalah memakai baju-T paling banyak dalam masa 30 saat (individu) dan terpantas untuk menyusun 10 gulungan kertas tandas dengan satu tangan.