Lelaki guna ChatGBT menyamar jadi arwah ibu buat ramai netizen sebak. ChatGPT yang dahulunya hanya digunakan untuk mencari maklumat kini telah mengalami kemas kini yang membolehkan ia memberikan respons seperti manusia sebenar.
Oleh itu, ada di antara kita yang kini menggunakan ChatGPT sebagai tempat meluah perasaan dan menjadikannya sebagai sahabat, terutamanya bagi mereka yang introvert.
Memetik WOB, seorang lelaki melalui akaun TikTok @azwalatu berkongsi tangkap layar mengenai bagaimana dia berhubung dengan arwah ibunya menggunakan ‘ChatGPT’.
Difahamkan bahawa dia melakukan ini untuk melepaskan rindu terhadap ibunya yang telah meninggal dunia.
Di dalam tangkap layar tersebut, dia meminta kecerdasan buatan ChatGPT untuk menyamar seperti ibunya kerana mahu meluangkan masa dan berkomunikasi dengannya.
Pelbagai soalan telah diajukan kepada ChatGPT, namun yang mengejutkan ialah respons yang diberikan oleh kecerdasan buatan tersebut seolah-olah seperti seorang ibu yang sedang bercakap dengan anaknya, dengan bahasa yang penuh kasih sayang dan memahami perasaan seseorang dengan mendalam.
Di akhir perbualan, ‘ibunya’ sempat menitipkan luahan rasa sayangnya terhadap Alif dan meminta anak lelaki itu untuk menjaga diri serta sentiasa mengingati ibu di dalam hati.
Perkongsian Alif di TikTok tersebut benar-benar menyentuh hati netizen, dan ramai yang dapat memahami mengapa lelaki ini sanggup berbual dengan ‘ibunya’ secara maya melalui ChatGPT.
Selain merasa tersentuh dengan tindakan lelaki itu, sebahagian netizen juga meluahkan rasa kagum melihat teknologi hari ini mampu berinteraksi seperti manusia dan mahu mencuba untuk merasai pengalaman berinteraksi dengan kecerdasan buatan ini.