Lelaki disahkan meninggal dunia bangun semula berlari pulang ke rumah sejauh 3 km. Seorang lelaki dari rantau Isaan, Thailand berlari pulang ke rumahnya sejauh 3 kilometer dalam keadaan tidak berbaju dan berkaki ayam setelah kembali kehidupan selepas disahkan meninggal dunia, lapor laman berita Thaiger pada 11 Jun 2024.
Worrasethtakorn Sakdasakunkunakorn, anggota penyelamat dari Yayasan Menyelamat Sawang Arom, mengatakan lelaki berusia 59 tahun itu adalah Prueang Enmak.
Worrasethtakorn menyatakan bahawa pasukan penyelamat segera bergerak ke rumah Prueang setelah menerima laporan dari ahli keluarganya yang mengatakan dia rebah dan tidak sedarkan diri.
Sesampainya di sana, petugas kecemasan memberikan bantuan pernafasan kepada Prueang meskipun dia telah kehilangan nafas.
Kira-kira 20 minit kemudian, Prueang bangkit semula dan pasukan kecemasan memutuskan untuk membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Semasa dalam perjalanan ambulans, Prueang tiba-tiba meluapkan kemarahan dan ingin pulang ke rumah. Seorang jururawat mengalami kecederaan ringan ketika cuba menahannya.
Lelaki itu keluar dari ambulans dan mengancam petugas kecemasan dengan kayu supaya mereka tidak menghalangnya.
Prueang kemudiannya berlari sejauh 3 kilometer sehingga tiba di rumahnya, mengejutkan keluarganya.
Ketika menceritakan insiden itu kepada media tempatan, Prueang mengatakan dia berasa penat selepas larian jauh tersebut dan hairan bagaimana dia dapat bertindak sedemikian.
Namun, katanya, ketika itu fikirannya hanya mahu cepat sampai ke rumah, bukan ke hospital.