Lelaki diliwat dengan warga asing ketika datang minta kerja. Seorang lelaki warga Pakistan direman selama lima hari di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini selepas didakwa meliwat seorang pemuda yang datang untuk mencari kerja kosong di sebuah kedai perabot semalam.
Perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek ditahan oleh sepasukan polis kira-kira pukul 6.30 petang semalam selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berusia 22 tahun.
“Tangkapan terhadap suspek dilakukan berhampiran sebuah kedai perabot di Taman Tanjung Minyak Setia, Tanjung Minyak pada petang semalam.
“Mangsa dikatakan datang ke premis berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam untuk memohon kerja sebelum suspek meminta mangsa naik ke tingkat atas untuk bertemu dengan pengurus.
“Bagaimanapun, tiada sesiapa di tingkat atas dan suspek kemudian menarik mangsa ke dalam sebuah bilik sebelum mencium mangsa di mulut, dada, leher, punggung, dan betis sebelum meliwatnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
Difahamkan, mangsa telah dirujuk ke Hospital Melaka dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan koyakan baharu pada duburnya.
Mengulas lanjut, Zainol berkata, mangsa cuba melepaskan diri tetapi telah dihalang oleh suspek.
“Hasil saringan ujian air kencing terhadap suspek mendapati negatif dadah dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan (KK), iaitu dengan sengaja melakukan persetubuhan di luar tabii.
“Jika sabit kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebat,” katanya.