Lelaki dikejarkan ke hospital kerana dua cincin tersekat pada kemaluan, nasib baik abang bomba datang ‘potong’. Khidmat anggota bomba terpaksa digunakan bagi memotong dua cincin yang tersangkut pada alat sulit seorang lelaki yang dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Kedah pada hari Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 2.12 petang.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota dari BBP Aman Jaya tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Setibanya di sana, pihak hospital memaklumkan bahawa seorang lelaki dewasa berusia 38 tahun mengalami masalah apabila dua cincin tersangkut pada kemaluannya.”
“Tindakan yang diambil oleh anggota bomba adalah dengan menggunakan alat khas pemotong cincin untuk memotong cincin tersebut sehingga selesai sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azahari berkata, operasi dijalankan dengan penuh hati-hati bagi mengelakkan mangsa daripada mengalami kecederaan yang lebih serius.
“Bagaimanapun, lelaki itu mengalami luka pada bahagian alat sulit dan menerima rawatan lanjut di hospital.
“Operasi tamat pada jam 3.10 petang,” katanya.